Peperangan sudah bermula seminggu yang lalu, namun belum terlambat untuk mengucapkan selamat berimtihan kepada semua sahabat seperjuangan dan adik-adikku termasuk anak didik di Maahad Darul Quran, Rusila. Dengan harapan semoga Allah taala memberi kemudahan dan ketenangan dalam menghadapi suka duka perjuangan di gelanggang jihadul ta'lim.
mengenang zaman ketika berimtihan sangat manis meskipun tidak lah cemerlang seperti orang lain, namun di situlah medan untuk menguji sejauhmana ilmu yang ditimba mampu dihuraikan dan diterbitkan dalam bentuk tulisan dan lisan kita. Ramai kalangan sahabat yang berjaya di alam belajar namun gagal di dunia realiti sebenar. Dan tak kurang juga yang gagal dalam pelajaran tetapi berjaya menempuh liku-liku kehidupan dengan jayanya. ini kerana ketika kita berada di alam kampus kehidupannya lebih tertumpu kepada bilik kuliah, rakan-rakan sekuliah, aktiviti-aktiviti sampingan dan program-program sekeliling kita, namun apa yang diperolehi di medan ilmu bertempoh itu tidak akan cukup untuk membuktikan kemampuan mereka menguasai dunia sebenar apabila keluar dari kelompok mereka. hakikatnya seribu cabaran dan rintangan akan menghalangi setiap perjalanan kita akan datang setelah bergelar graduan. semua ini menunutut kepada persediaan yang mantap khususnya dari sudut ilmu.
Renungan bersama, belajar untuk mengajar dan dalam mengajar kita juga belajar. belajar untuk beramal dan menyampaikan pula kepada orang lain. Ingatlah imtihan bukan sekadar untuk lulus di atas kertas semata-mata, tetapi untuk menunaikan amanat yang lebih besar yang sedang menanti di hadapan. Terjemahkan ilmu yang dipelajari dalam bentuk amalan dan akhlak kita. kerana ketinggian ilmu itu terletak pada budi pekerti yang tinggi. kitalah pewaris ulamak dan pendokong perjuangan Islam pada abad ke 21 ini. tunaikanlah hasrat ummah dan realisasikan impian dan harapan Islam dalam diri kita semua...
Awan juangku terus berarak menusuk ke setiap gerak langkahku bersemadi dalam jasad menghembus ke setiap anggota, menyemarakkan lagi semangat untuk terus menyambung tugasan yang kian bertambah..hidup ini adalah satu perjuangan..perjuangan untuk menjadi hamba Allah yang sentiasa berada di atas landasan hidayah dan kebenaran. Manusia sentiasa bertarung dengan nafsu dan iman. Dua unsur ini tetap bersaing dalam jiwa insan dan dengan kekuatan jamaah dan keteguhan akidah juga kemantapan iman dan tarbiah insyaAllah kita akan teguh berdiri di atas jalan dakwah ini biarpun seribu halangan menduga kita. Allah jua sumber kekuatan dan Penolong utama kita. Sesungguhnya ribat ukhuwah yang dijalinkan atas genggaman akidah islamiah itu sangatlah kemas dan tak mampu dirungkai meskipun kekadang salah faham dan pertengkaran tercetus dek kerana kekhilafan dalam beberapa perkara. Kehidupan ini sememangnya perlu dilalui begitu kerana fitrah manusia itu sendiri tidak mampu bersendirian dan jika mereka bersama satu jamaah sudah tentu perbezaan pandangan,citarasa dan kemahuan antara satu sama lain terjadi. Oleh kerana itu sikap toleransi itulah yang diajar oleh Islam agar kita dapat hidup dengan sejahtera dan harmoni. Inilah fenomena yang dapat ku lihat dan ku kutip sepanjang perjalanan ini. manusia yang mempunyai ragam dan karenah yang pelbagai…. Sedikit nasihat buat diri dan sahabat seperjuangan juga adik-adik yang disayangi sentiasa…
Tuhan pertemukan kita di daerah ini, Dari pertemuan lahirlah satu kekuatan, Dari kebersamaan lahir pula persefahaman.. Bersatu hati merancang madah perjuangan, Mengawal atur langkah pergerakan, Semua tak lain hanya demi menegakkan kebenaran.. Berdiri di bawah satu panji, Bergerak sebagai satu jemaah Islam Saling sama ingat mengingati dan saling melengkapi… Sesungguhnya nikmat paling manis apabila Allah mentarbiyah kita dengan pelbagai ujian… Namun tautan ukhuwah mampu berdepan dengan sejuta kesulitan… Yang memberikan suntikan semangat perjuangan.. Alirkan halawatul ukhuwah.. Kesungguhan dalam berjuang melalui robithah hati..
Insan yang ku kasihi…
Jadikanlah dakwah lebih utama selalu..jelmakan setiap sesuatu untuk dakwah..dan lakukanlah setiap perkara kerana dakwah..berkorbanlah pada jalanNya dengan diri,harta, masa dan kerja-kerja kita juga segala sesuatu…nescaya Allah akan memberkati kita..
Setelah berlalunya PRK di Galas, ledakan PRK bersambung kembali di Tenang dan apa yang lebih menarik untuk dikongsiadalah kemunculan calon seorang wanita muda yang berumur 38 tahun. Normala Sudirman atau dengan panggilan mesranya k.Mala. Apa yang istimewanya dengan k.mala ni?? Jika disingkap dalam pilihanraya umum sebelum ini, PAS bukan pertama kali menghantar wakil wanita ke gelanggang pilihanraya atas tiket calon terpilih. YB. Dr.Lo’ Lo’, YB.Senator Zailah, YB. Wan Ubaidah dan beberapa lagi muslimat yang bertanding telah muncul dalam dunia politik Malaysia hari ini. Namun berbeza pada PRK kali ini agaknya kerana k.mala mempunyai daya tarikannya tersendiri bahkan mendapat sokongan dari anak-anak muda mungkin kerana factor usianya yang paling muda berbanding dengan calon wanita lain. Apepun reaksinya, Umno terus mainkan isu bodoh seolah-olah PaS baru menghantar wakil dari wanita.
Umno yang jahil dan buta agama terus melabur isu dan polimik basi kononnya PAS cakap tidak serupe bikin. “Dahulu melarang wanita dari menjadi wakil rakyat, dulu berbuat baik dengan bukan Islam tak boleh, hari ini semuanya boleh…”. Hanya Umno dan BN sahaja tidak pernah dan tidak akan mengerti setiap tindakan yang diambil dan dibuat oleh PAS..kerana mereka sememangnya telah membutakan mata dan memekakkan telinga untuk mendengar penjelasan dan penerangan dari bibir pimpinan PAS. Bukan mereka tidak tahu tetapi buat-buat tidak tahu…suka melobi isu dan Nampak benar kehilangan akal dek kerana sudah tidak mampu mengawalpenyakit yang kian membarah.
Firman Allah swt dalam surah Al A'araf yang bermaksud:
179. dan Sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka jahanam banyak dari jin dan manusia Yang mempunyai hati (Tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan Yang mempunyai mata (Tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah) dan Yang mempunyai telinga (Tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat); mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang Yang lalai.
Perjuangannya mendapat restu keluarga
Pas sebuah gerakan Islam yang berpegang dengan prinsip yang jelas dan tidak pernah berpaling meninggalkan prinsip tersebut. Keterlibatan wanita dalam kancah politik sudah jelas tidak melanggar prinsip perjuangan Pas.
Jikalau umno ikhlas memperjuangkan Islam seharusnya menerima siapapun calon yang ditabalkan meskipun dari kalangan wanita kerana Islam tidak membatasi hak berpolitik untuk lelaki sahaja. Masalahnya Umno sangat tertekan kerana calon wanita dari mereka tidak mampu meraih perhatian dan sokongan sepertimana yang ada pada pihakPAS. Bagi Pas siapapun calon yang dilantik kemenangan Islam itulah matlamat utama. Sedangkan Umno berjuang atas dasar sekularisme dan kepentingan dunia mereka. Maka parti manakah yang lebih tulus untuk menegakkan keadilan dan Islam??
Pertembungan antara iman dan kufur adalah sunnatullah yang tidak dapat ditepis. Sejarah dahulu telah merakamkan bagaimana pertembungan ini menjadi tradisi zaman dan warisan sejarah. Sebagai umat mutaakhir kita sering diingatkan dalam Al-Quran dan hadis tentang penyakit yang telah menimpa umat-umat terdahulu. Tugas para Rasul adalah membimbing kaumnya kembali pada Allah. Rasulullah saw telah meninggalkan wasiat yang menjadi tugas penting bagi umat ini untuk meneruskan perjuangan baginda. Perjuangan yang tidak ramai yang sanggup memikulnya…walaupun begitu janji Allah itu pasti..akan tetap ada golongan yang akan berjuang menegakkan Islam dan mereka itu adalah orang-orang yang thabat hatinya dan cintakan Allah dan Rasul melebihi yang lain. Mereka itulah golongan yang disebut dalam Al Quran dalam firmannya yang bermaksud:
54.Wahai orang-orang Yang beriman! sesiapa di antara kamu berpaling tadah dari ugamanya (jadi murtad), maka Allah akan mendatangkan suatu kaum Yang ia kasihkan mereka dan mereka juga kasihkan dia; mereka pula bersifat lemah-lembut terhadap orang-orang Yang beriman dan berlaku tegas gagah terhadap orang-orang kafir, mereka berjuang Dengan bersungguh-sungguh pada jalan Allah, dan mereka tidak takut kepada celaan orang Yang mencela. Yang demikian itu adalah limpah kurnia Allah Yang diberikanNya kepada sesiapa Yang dikehendakiNya; kerana Allah Maha Luas limpah kurniaNya, lagi meliputi pengetahuanNya.
Saya sungguh kagum dengan pemilihan PAS melantik calon wanita muda dalam memacu perubahan sesuai dengan suasana hari ini. Pas bukan sahaja menekankan kepentingan orang muda dalam membangunkan Islam, tetapi peranan muslimat muda juga sangat diberi penekanan dan perhatian. Jelasnya apabila k.mala bersedia memikul amanah yang Maha berat ini membuktikn bahawa beliau ingin membuka mata hati para muslimat hari ini akan keperluan dan tanggungjawab yang tidak mustahil dipikul oleh muslimat muda. Saya yakin ramai kalangan sahabat-sahabat sekalian memuji keberaniaan dan kehebatan k.mala yang sanggup mendepani apa jua cabaran dan mehnah seorang pejuang. Dia ibarat srikandi khaulah Al Azwar yang muncul di tengah peperangan. Peperangan yang lebih dahsyat pada abad ini. semoga keperibadiaan beliau dapat dicontohi oleh generasi muda hari ini seterusnya membangkit semangat untuk terus berjuang walau di mana sahaja kita berada.
1. Mutaakhir ini , landskap sosial negara semakin tenat. 1001 jenis mungkar dan maksiat mula menular ke segenap sendi dan saraf masyarakat . Moral dan adab masyarakat kian pudar dan jati diri mereka kian lumpuh .
2. Arak dengan 1001 jenama , judi dengan 1001 istilah , konsert hiburan dengan 1001 pendekatan , pergaulan bebas dengan 1001 style , jenayah dengan 1001 cara , penyalahgunaan kuasa dengan 1001 kaedah , seks bebas dengan 1001 alasan dan 1001 jenis maksiat dan mungkar yang membawa kefasadan atau musibah buat negara dan penduduknya.
3. Fenomena ini akan mengheret negara dan seluruh isinya menuju kehancuran dan kebinasaan yang total . Undang - undang tidak pedulikan lagi , penguatkuasaan tidak memberi apa - apa erti dan adat kepercayaan turut dinodai .
4. Harapkan pagar , pagar tidak boleh diharap !
-Pemimpin diharap pimpin negara dan rakyat , tahu - tahu mereka menyalahgunakan kuasa dan terbabit dalam rasuah serta pelbagai bentuk maksiat dan mungkar .
-Hakim diharap menegakkan keadilan , tahu - tahu hakim turut terbabit dalam skandal cabul undang - undang .
-Polis diharapkan jaga keamanan , tahu - tahu polis belasah rakyat dan terlibat dengan gengster lalu membuatkan rakyat cemas dan tidak aman .
- Wakil rakyat diharap mewakili rakyat dalam DUN atau Parlimen untuk perjuangkan hak rakyat , tahu - tahu mereka yang songlap duit rakyat dan hanya tidur di dalam dewan .
- Ulama' diharap didik ummah agar berilmu dan jauh dari maksiat , tahu - tahu ulama' hanya diam membisu sambil tangan mengipas - ngipas kepala pemerintah .
5. Harapan yang masih berbaki ialah mengharapkan generasi akan datang , kembali bangun membina tamaddun dan peradaban baru yang mampu membawa negara kembali pulih dari ancaman maksiat dan mungkar . Mendaulatkan peraturan yang diperkayakan dengan nilai insaniah dan rabbaniah .
6. Harapan ini tentunya disandarkan kepada generasi muda hari ini . Mereka adalah pemimpin masa depan . Golongan yang pernah menjadi kebanggaan nabi saw . untuk membarisi golongan teras mendokong cita - cita baginda membangunkan tamaddun yang bebas dari pengaruh mungkar .
7. Besar tapak tangan bersama segala kerendahan diri , saya alu - alukan generasi muda hari ini agar sama - sama kita dokong cita - cita besar untuk pulihkan negara sekaligus membebaskannya dari perangkap kefasadan yang membinasakan . Saya dan seluruh warga Dewan Pemuda PAS Malaysia , insyaallah sabar menunggu dan menanti semua warga muda negara tanpa mengira apa warnanya , apa bahasanya , apa budayanya dan apa agamanya , di kepala jambatan ini untuk kita segera lintas meninggalkan dunia lama dan kita bina dunia baru dengan segala harapan menggunung .
8. Ayuh ! cepatlah anak muda . Kita bergerak sepantas tenaga yang dimiliki , kita merancang serancak kecerdasan yang ada pada aqal sang muda . Kita sahut cabaran musuh yang mahu melihat generasi ini musnah dan hanyut dengan pelbagai ideologi dan kegiatan tajaan mereka dengan jiwa yang besar dan cekal . Tidak mengalah biar ditawar segala keseronokan dan kepuasan justeru kita memahami bahawa segalanya itu hanyalah fatamorgana .
9. Kita tidak punya banyak masa untuk saling harap mengharap antara satu sama lain , demikian juga kita tidak cukup waktu untuk saling tuding menuding antara satu sama lain . Apa yang terbentang dihadapan kita ialah jalan untuk kita berlari laju meninggalkan sempadan lama yang kian binasa .
10. Marilah kita sama - sama bergandingan dan berjuang menuntut perubahan . Gandingan kita semua anak muda akan meringankan beban tugas berat dan kerja yang mencabar untuk membina tamaddun yang baru ini . usah leka dan lalai lagi . Usah asyik dan alpa lagi . Jom Bersama Pemuda , Orang Muda Geng Kita !
Tirai 2010 telah berlabuh semalam dengan pesta sambutan tahun baru 2011. Kesenjangan ini sungguh mengecewakan tatkala melihat anak-anak muda yang masih mentah dilunakkan dengan budaya hiburan yang melampau. Inikah harapan yang dicanang oleh Dato’ sri Najib dalam ucapan perutusannya mahu membawa pembaharuan yang lebih baik dan seribu macam harapan kononnya rakyat perlu bersatu padu dalam menjana kemajuan Negara. Itulah omongan kosong yang penuh sogokan material. Apa yang ingin dicapai jika jiwa rakyat kian disuburkan dengan maksiat, fahaman agama dipisahkan, akidah koyak, iman luput,krisis kemanusiaan terjejas dengan unsur politik yang disongsangkan.Hari ini cukai perkhidmatan dinaikkan lagi, harga barang kian mencengkam warga miskin, slogan rakyat didahulukan pencapaian diutamakan jelas tidak menepati kehendak agama dan jauh dari membangun kebajikan rakyat. Sebagai rakyat yang sedar dan mengharap sinar baru di ambang sessi baru ini, marilah kita celik dan bangkit dari kebobrokan ini, sudah tiba masanya kita berani untuk berubah dan berjuang untuk memartabatkan Islam dalam seluruh jiwa kita sehingga kita mampu mengubah dunia dengan cahaya hijau.
Sesungguhnya tamadun Islam yang lalu telah membuktikan bahawa asas kemajuan dan kecemerlangan sesebuah Negara itu terletak pada ketinggian akhlak dan nilai-nilai murni bangsanya. Ibnu Kaldun telah menulis dalam buku mukaddimahnya menyebut “ Akhlak dan ilmu pengetahuan tunggak pembinaan dan kejatuhan tamadun. Asas penting pembinaan Negara adalah : Agama,ekonomi, akhlak pemimpin serta rakyatnya”. Justeru mengapakah pemimpian Negara kita hari ini tidak merujuk kepada asas pembinaan tamadun Islam yang sebenar. Mereka hanya menggunapakai system barat yang jelas menjahanamkan Negara. Sekularisme telah bernanah dalam pentadbiran mereka sehingga sukar ditangani. Musuh-musuh Islam telah bertepuk tangan dengan kejayaan mereka untuk memesongkan umat islam dari agamanya. Sedarilah umat sekalian dan bangunlah dari kelalaian kalian untuk mendokong perjuangan yang sebenar iaitu kembali kepada perjuangan yang telah dibawa oleh baginda Nabi Muhammad SAW. Tinggalkan kejahilan yang ada dalam dada kalian dan lihatlah pada kebenaran Islam itu berada di mana. Siapa yang sebenarnya ikhlas memperjuangkan Islam di tanah air kita? Fikirlah dengan mata hati kita..dunia ini sudah tidak selamat jika dipimpin oleh orang-orang yang tamak kuasa dan tidak mahu menegakkan islam dalam kerajaannya. Mereka itu tidak ubah seperti firaun dan namrud. Bila diajak kepada mentauhidkan Allah mereka ingkar malah berusaha menghapuskan ajaran ini dengan membunuh utusan Allah.
Demikianlah Dalam konteks dunia moden ini, bila diajak untuk kembali kepada Islam yang syumul, mereka menempelak dan menuduh dengan bermacam-macam tuduhan, mengamalkan diskriminasi media, manipulasi, bahkan sanggup menikam saudara sendiri. Itulah bentuk-bentuk ancaman dan pembunuhan yang mereka lakukan. Umno bukan lagi parti yang berjuang atas nama Islam. Islam mereka hanya pada diri dan amalan sahaja, mereka mengamalkan Islam secara juzuk sahaja dan meninggalkan juzuk-juzuk yang lain. Firman Allah SWT:
“Apakah kamu beriman dengan sebahagian al-Kitab dan ingkar dengan sebahagian yang lain? Tiadalah balasan orang yang berbuat demikian daripada kamu, melainkan kenistaan dalam kehidupan dunia dan di Hari Akhirat mereka dikembalikan kepada siksa yang sangat berat. Allah tidak lengah daripada apa yang kamu perbuat.” - Surah al-Baqarah: ayat 85
Mereka lebih mengutamakan bangsa melayu. Slogan 1 malaysia sangat jelas meragui akidah seolah-olah mereka ingin menyamakan semua agama. Fahaman liberal sudah tertanam tanpa mereka sedari. Sedangkan Islam yang diperjuangkan PAS telah lama melaksanakan misi ini dengan meletakkan Islam for All, Islam untuk semua itulah yang mempamerkan kesyumulan Islam yang meliputi seluruh bangsa manusia. Dunia menguasai hati dan kehidupan umat Islam. Umat Islam kasihkan dunia dan bencikan kematian. Apabila ‘aqidah umat telah sakit dan tidak berfungsi, kejahilan menyelubungi kehidupan, ingatan-ingatan Allah SWT diabaikan, dunia menguasai kehidupan dan jihad ditinggalkan, maka Islam menjadi Ghurbah.
Realiti kini, Islam berada di suatu lembah manakala umat Islam berada di suatu lembah yang lain. Islam menjadi sasaran musuh. Ustaz Sa’id Hawwa ada menyatakan: “Kita dapati Islam dan kaum Muslimin menjadi sasaran musuh luar dan dalam...”
Oleh kerana itu, hayatilah sejarah hijrah Rasulullah SAW dalam memberi pengertian yang amat besar kepada kita selaku penerus perjuangan addin yang suci ini kerana ianya merupakan titik tolak yang pertama dalam menuju perubahan dan matlamat yang diimpikan. Persoalannya ,apakah kita sedar betapa besarnya peranan sejarah untuk kita manfaatnya dan mentadbiqkannya secara amali guna memperbaiki diri,keluarga,jamaah sama ada kecil atau besar,negeri,tanah air serta dunia seluruhnya ke arah Islam yang syumul? Atau apakah telah berpuashati dengan keadaan kita dan negara kita yang jelasnya hanya bertopengkan Islam.
Bersamalah kita membakar semangat dan pengorbanan di dalam diri dengan mengambil Al-Quran sebagai panduan , Sunnah sebagai ikutan. Jadikanlah diri kita cermin kepatuhan Al-Quran dan Sunnah yang berjalan di muka bumi ini .Seharusnya kita berhijrah dari sebarang kepincangan kepada kebaikan dan daripada kebaikan kepada yang lebih baik dan seterusnya yang terbaik. Segala sifat negatif kita gantikan dengan sifat positif, yang suka berprasangka diubah menjadi sebaliknya yang malas diubah menjadi rajin, yang tidak ikhlas diubah kepada keikhlasan yang suci dan lain-lain.Ingatlah bahawa berpegang dengan aqidah dan akhlak islamlah, persaudaraan islam dapat dicapai sebagaimana yang disaksikan di dalam sejarah.
Seminggu hujan tak berhenti-henti membasahi bumi Darul imanku..badan pun dah sejuk panas rasa macam nak demam, sekali-sekala disapa angin bertiup shahdu lega rasanya..sudah lama tak merasa begini teringat musim sejuk di Syria..walau berbeza iklim namun suasana nyaman tetap ku rasai meskipun nun jauh aku amat merindui bumi barakah itu..Damsyiq di hati…musim hujan di mesia musim sejuk di syria catatan status seorang sahabat di yahoomesenggernyer..kangen banget deh!
Alhamdulillah cukup setahun dua minggu aku berada di tanah air..dalam tempoh yang singkat ini macam-macam dah aku lalui..namun masih banyak yang perlu ditimba lebih-lebih lagi pengalaman…Alhamdulillah juga target perancangan hidup tetap berjalan lancar walaupun hambatan halangan sentiasa ada. Kini di ambang awal Muharam menjadi detik baru untuk ku atur langkah beriltizam dan berazam untuk memperbaiki ketaksiran yang lalu, memuhasabah kembali episod kehidupan lepas dalam jarak setahun yang telah pergi pastinya memberi seribu pengajaran dan keinsafan terutamanya terhadap amanah sebagai hambaNya. Sesungguhnya mengingati masa silam akan membuatkan kita merasa kecewa dan sering bersedih dek kerana usia yang seiring pergi itu tidak mampu diputar kembali. Pengalaman baik dalam kesenangan dan kesusahan,manis atau pahit semuanya akan menjadi guru yang paling berharga buat diriku.
Menyingkap kembali lembaran lalu bukan bermakna kita harus menangisi dengan pemergian masa lalu ataupun meratapi diri sendiri kerana gagal menjadi insan yang sempurna, sebaliknya itulah hakikat yang mesti diterima dan mengakui kelemahan demi untuk satu perubahan dalam menghijrahkan diri ke arah yang lebih baik. Janganlah bermimpi untuk menjadi yang sempurna kerna tiada yang sempurna melainkan Pemilik Alam ini Allah Azza Wajalla.
Justeru, apa azam baru kita untuk hijrah 1432 ini? adakah kita akan berganjak selangkah atau lima langkah dari sebelum ini…?maka aku ingin berpesan pada kalian bahawa dalam kita menanam azam baru ini semailah dengan kesederhanaan kerana apa guna jika kita menyusun azam yang hebat-hebat kemudian satu pun tidak kita buat. Kita bersungguh-sungguh pada awalnya kemudian futur di tengah jalan..jadi marilah kita mencontohi Nabi Muhammad SAW yang mengajar umatnya agar sentiasa bersederhana dalam beramal dan berazam. Lakukan mengikut kemampuan dan yang paling penting dibuat secara berterusan insyaAllah perkara tersebut akan kekal sentiasa. Setelah kita berazam kita laksanakan kemudian kita muhasabah kembali untuk meningkatkan lagi usaha kita sehingga mencapai ke tahap yang lebih baik. Menuju marhalah yang paling tinggi memerlukan mujahadah yang tinggi..jadi jangan berputus asa dengan rahmat Allah..selagimana kita berusaha mencari redha Allah, megharapkan hidayah yang berterusan serta mendambakan nusrahNya dalam perjuangan kita insyaAllah berkat kesabaran dan kesederhanaan ini akan memandu kita menuju matlamat yang jelas.
Doaku mudah-mudahan maal hijrah yang ditempuh ini menyuntik semangat baru di samping menggali hikmah penghijrahan nabi yang penuh iktibar dan menjadikanya inspirasi dalam perjalanan dakwah untuk menyebarluaskan Islam sehingga agama ini tertegak kembali. Transit di kota lama kini Hijrahku ke pengkalan sementara mengumpul bekal ukhrawi menuju denai bahagia bernama syurga…Ya ilahi ANTA maqsudi wa RedhaKA mathlubi..