Jumaat, 5 Ogos 2011


Selamat menempuh Ramadan Mubarak...
Bersama merebut amal kebaikan selagi berpeluang meraihnya..
Bulan mendidik diri menjadi hamba yang bertaqwa padaNYA..
Tuhan pimpinlah kami menuju Redho-Mu..

Selasa, 5 Julai 2011

Syaaban :.. Bila Nur Melimpah ke hati...

BULAN Syaaban adalah antara bulan yang mulia di sisi Allah swt.

• Ia adalah bulan yang membawa keberkatan.
• nikmat dan kesejahteraan bagi umat Islam seluruhnya.
• Baginda Rasulullah saw banyak berpuasa sunat dalam bulan yang mulia ini.
• Umat Islam digalakkan melakukan amal ibadat dengan berganda. Ini kerana Nabi kita Muhammad saw meningkatkan amal ibadatnya kepada Allah swt pada bulan yang agung ini.

Hadis yang diriwayatkan oleh Al-Nasaei dari Usamah bin Zaid ra berkata:
”Aku bertanya Rasulullah tentang bulan Syaaban kerana aku tidak pernah lihat baginda banyak berpuasa sunat sebagaimana beliau berpuasa dalam bulan Syaaban.
Baginda menjawab: ”Bulan yang banyak manusia lalai dan padanya ialah bulan di antara Rejab dan Ramadan. Pada bulan Syaaban akan diangkatkan catatan amalan hamba kepada Allah swt. Dengan itu aku amatlah suka supaya diangkatkan amalanku ketika aku berpuasa.”

Sebenarnya amal ibadat hamba diangkat oleh malaikat tiap-tiap hari manakala amal ibadat bulan Syaaban ini bolehlah dikatakan laporan tahunan bagi amalan hamba.

Hadis ini menunjukkan bahawa ramai yang lalai dalam bulan Syaaban ini. Mereka tidak mengambil kesempatan untuk beramal ibadat seperti mana mereka bersungguh-sungguh meluangkan masa beribadat kepada Allah swt pada bulan Ramadan. Ini kerana adat Jahiliyah dahulu orang Mekah lebih mengutamakan dan memuliakan bulan Rejab dan melupakan bulan Syaaban.

Di antara hikmah digalakkan banyak berpuasa sunat pada bulan Syaaban ialah kerana selepasnya dituruti oleh bulan Ramadan yang diwajibkan berpuasa keseluruhannya. Dengan itu puasa pada bulan Syaaban merupakan perintis dan latihan untuk membiasakan diri bagi menunaikan kewajipan puasa Ramadan sepenuhnya.

Bagi mereka yang sudah biasa berpuasa sudah tentu kuranglah rasa penat dan tidak terkejut untuk berpuasa dalam Ramadan nanti.

Sebuah hadis lagi yang memberi perangsang kepada kita umat Islam supaya mengikut sunah Rasulullah saw.

1. Dari Ummu Salamah meriwayatkan bahawa beliau tidak pernah melihat Rasulullah Rasulullah saw berpuasa dalam setahun sepenuhnya kecuali bulan Syaaban. Kemudian baginda terus menyambung puasa Ramadan.

2. Al-Nasai dari Ummu Salmah berkata: ”Aku tidak pernah melihat Rasulullah berpuasa dua bulan berturut-turut kecuali bulan Syaaban dan Ramadan.

3. Aishah pula meriwayatkan bahawa Rasulullah berpuasa bulan Syaaban kesemuanya.

Berkenaan dengan kelebihan Nisfu Syaaban iaitu malam pertengahan bulan Syaaban pula kita boleh dapati melalui hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Habban dalam kitab al-Sahihnya, daripada Muaz bin Jabal r.a. bahawa Nabi saw bersabda yang maksudnya: Allah swt melihat kepada hamba-Nya pada malam Nisfu Syaaban dan Allah akan memberikan pahalanya kepada seluruh hambanya melainkan mereka yang melakukan kesalahan syirik dan orang yang menyebarkan fitnah.

Dalam hadis yang lain sebagaimana yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Amru bin al-As bermaksud: ”Allah swt memandang kepada makhluk-Nya pada malam Nisfu Syaaban, lalu diampuni dosa hamba-Nya kecuali dua golongan, iaitu orang yang membunuh diri dan orang yang menyebarkan fitnah.

Hadis-hadis ini menggambarkan kepada kita kelebihan bulan Syaaban yang sungguh istimewa. Ibadat mesti digandakan sebagaimana yang dibuat oleh Rasulullah yang membanyakkan puasa sunat. Hadis tersebut juga menunjukkan bahawa Allah swt sedia memberi keampunan kepada hamba-hamba-Nya yang bertaubat.
Ibadat pada malam Nisfu Syaaban:

1. Ibadat yang khusus dilakukan pada malam itu ialah:

2. Sembahyang lima waktu, sunat dan tahjud.

3. Membaca al-Quran. Kalau tidak boleh menghabiskan semuanya, sekurang-kurangnya membaca surah Yasin, al-Waqiah, al-Mulk, al-Insan, al-Hashr, al-Muzammil dan surah al-Mudathir.

4. Banyak beristighfar kepada Allah.

5. Bertasbih, bertahlil, bertakbir dan membaca berbagai doa dan zikir yang ma’thur.

Sebenarnya tidak ada doa khusus untuk dibacakan pada Nisfu Syaaban. Kita mesti ingat bahawa Allah swt sentiasa membuka pintu taubat bukan pada malam Nisfu Syaaban sahaja bahkan ia sentiasa terbuka waktu pagi dan petang, siang dan malam.

Peristiwa-peristiwa bersejarah yang berlaku pada bulan Syaaban:

Peristiwa yang paling bersejarah yang berlaku pada bulan Syaaban ialah:

• Peristiwa pertukaran kiblat. Allah swt telah mengarahkan Rasul-Nya memindahkan kiblat sembahyang daripada masjid al-Aqsa di Bait al-Maqdis ke Kaabah di Mekah. Dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim daripada seorang sahabat al-Bara’ bin Azib maksudnya: ”Selepas Rasulullah sampai ke Madinah al-Munawarah, baginda dan para sahabat bersembahyang berkiblatkan Baitulmakdis al-selama lebih kurang enam belas atau tujuh belas bulan. Selepas tempoh tersebut barulah diturunkan wahyu menyuruh baginda berpaling ke Mekah. Peristiwa pertukaran kiblat berlaku di dalam masjid Qiblatain. Suruhan pertukaran kiblat berlaku ketika Rasulullah sedang bersembahyang Asar. Pertukaran kiblat menjadi isu besar di Madinah. Orang Yahudi mengambil kesempatan menabur fitnah memperlekehkan dakwah Rasulullah. Lalu diturunkan ayat 142 Surah al-Baqarah.

Maksudnya: Akan berkata orang-orang yang kurang akalnya: ”Apakah yang memalingkan mereka (umat Islam) dari kiblat mereka (Baitulmaqdis) yang dahulunya mereka telah berkiblat kepadanya. Katakanlah: ”Kepunyaan Allah timur dan barat, dia memberi petunjuk kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya ke jalan yang lurus.

Hikmah : Peristiwa ini berlaku pada tahun kedua Hijrah pada bulan Syaaban. Kebenaran daripada Allah swt untuk kembali berkiblatkan Kaabah adalah contoh doa Rasulullah yang dikabulkan oleh Allah swt. Ini kerana Rasulullah sudah lama mengangkat tangannya berdoa dan memandang ke langit meminta pertukaran kiblat ke Kaabah. Permintaan Rasulullah tersebut telah diperkenankan oleh Allah swt pada bulan Syaaban.

Ahad, 12 Jun 2011

Nikmatnya Ujian-Mu

Assalamualaikum salam sejahtera buat teman-teman seperjuanganku yang tak jemu-jemu menziarahi blog ini..maafkanku kerana tak dapat meng 'update' warkah baru sebulan dua ini..agak keberatan untuk menulis ditambah dengan ujian yang bertimpa-timpa menguji diri ini..mungkinkah ini kafarah dosa-dosa yang kulakukan...Ya Allah ku syukuri atas ujian yang kau berikan padaku..tanpa ujianmu siapalah aku..insan yang sentiasa lalai dan alpa yang sering berbuat dosa. Teringat Pesanan Tuhan dalam kitabNya yang suci " Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan hanya dengan mengatakan : 'kami telah beriman', sedang mereka belum diuji?. Dan sungguh kami telah menguji orang-orang sebelum mereka, maka Allah pasti mengetahui orang-orang yang benar dan pasti mengetahui orang-orang yang dusta."

Diriwayatkan daripada Abu Said R.A katanya: " Sesungguhnya aku pernah mendengar Rasulullah saw bersabda:" Setiap musibah yang ditimpa ke atas orang-orang mukmin yang berupa sakit yang berterusan, sakit yang biasa dan kesedihan bahkan membawa kebingungan dari musibah yang beliau alami, maka hal yang demikian merupakan penghapus kesalahan-kesalahannya."-Riwayat Bukhari dan Muslim.

Ya latif..Maha PengasihNya Allah kerna membekalkan kita setiap motivasi yang membangun jiwa, mengiringi kedamaian dan ketenangan tiap kali rasa gundah melanda jiwa, ketika kaki melangkah longlai dan tubuh lemah ini rebah, Dia hiburkan dengan azimat cintaNya yang tak dapat digapai dengan pancaindera kita..itulah yang ku alami dalam detik-detik penghujung yang bernama 'sakit'. Hampir dua minggu melayan karenah sendiri, demam biasa kata orang tapi luar biasa bagiku mungkin terlalu lama tak merasa sakit..tambahan cuaca yang tak menentu semuanya amat luar biasa..huhu..Alhamdulillah 'berkat' ujian ini ku tempuhi erti kesabaran dan memulihkan rasa kehambaan yang kian hilang...tanpa ujian manusia tidak akan bersyukur dengan apa yang ada, takkan menyelami hati-hati insan yang dalam ujian yang tak pernah surut..apatah lagi dekat dengan Tuhannya...inilah kehidupan tertulis setiap apa yang berlaku pasti ada hikmahnya dan manusia takkan mati sebelum ajalnya jika dia menjadikan Allah sumber kekuatannya. Rabbuna wa Rabbul khaliqul alam..

Alhamdulillah hari ini, sesi persekolahan kembali semula..banyak kerja-kerja yang terbantut, gerakkerja Islam masih tersimpan dalam catatan buku..belum sempat dikemaskini dan diuruskan dengan lancar..insyaAllah sehari dua ni cuba bangkitkan semangat untuk tidak menyerah kalah pada ketidaklaratan itu..muge Allah sentiasa kuatkan hatiku dan teman-teman untuk melaksanakan misi dan tanggungawab jemaah. kepada sahabat seperjuanganku pohon maaf banyak-banyak tak dapat join program minggu lepas..insyaAllah program terdekat ni kita sama-sama pulun..doakan muga Allah berikan kesihatan dan mudahkan segala urusan kita..Amin.

Sabtu, 7 Mei 2011

Salam Imtihan

Peperangan sudah bermula seminggu yang lalu, namun belum terlambat untuk mengucapkan selamat berimtihan kepada semua sahabat seperjuangan dan adik-adikku termasuk anak didik di Maahad Darul Quran, Rusila. Dengan harapan semoga Allah taala memberi kemudahan dan ketenangan dalam menghadapi suka duka perjuangan di gelanggang jihadul ta'lim.

mengenang zaman ketika berimtihan sangat manis meskipun tidak lah cemerlang seperti orang lain, namun di situlah medan untuk menguji sejauhmana ilmu yang ditimba mampu dihuraikan dan diterbitkan dalam bentuk tulisan dan lisan kita. Ramai kalangan sahabat yang berjaya di alam belajar namun gagal di dunia realiti sebenar. Dan tak kurang juga yang gagal dalam pelajaran tetapi berjaya menempuh liku-liku kehidupan dengan jayanya. ini kerana ketika kita berada di alam kampus kehidupannya lebih tertumpu kepada bilik kuliah, rakan-rakan sekuliah, aktiviti-aktiviti sampingan dan program-program sekeliling kita, namun apa yang diperolehi di medan ilmu bertempoh itu tidak akan cukup untuk membuktikan kemampuan mereka menguasai dunia sebenar apabila keluar dari kelompok mereka.
hakikatnya seribu cabaran dan rintangan akan menghalangi setiap perjalanan kita akan datang setelah bergelar graduan. semua ini menunutut kepada persediaan yang mantap khususnya dari sudut ilmu.

Renungan bersama, belajar untuk mengajar dan dalam mengajar kita juga belajar. belajar untuk beramal dan menyampaikan pula kepada orang lain. Ingatlah imtihan bukan sekadar untuk lulus di atas kertas semata-mata, tetapi untuk menunaikan amanat yang lebih besar yang sedang menanti di hadapan. Terjemahkan ilmu yang dipelajari dalam bentuk amalan dan akhlak kita. kerana ketinggian ilmu itu terletak pada budi pekerti yang tinggi. kitalah pewaris ulamak dan pendokong perjuangan Islam pada abad ke 21 ini. tunaikanlah hasrat ummah dan realisasikan impian dan harapan Islam dalam diri kita semua...

selamat menjalani imtihan.. bittaufiq wannajah..

Sabtu, 23 April 2011

Up grade Perjuangan...

Awan juangku terus berarak menusuk ke setiap gerak langkahku bersemadi dalam jasad menghembus ke setiap anggota, menyemarakkan lagi semangat untuk terus menyambung tugasan yang kian bertambah..hidup ini adalah satu perjuangan..perjuangan untuk menjadi hamba Allah yang sentiasa berada di atas landasan hidayah dan kebenaran. Manusia sentiasa bertarung dengan nafsu dan iman. Dua unsur ini tetap bersaing dalam jiwa insan dan dengan kekuatan jamaah dan keteguhan akidah juga kemantapan iman dan tarbiah insyaAllah kita akan teguh berdiri di atas jalan dakwah ini biarpun seribu halangan menduga kita. Allah jua sumber kekuatan dan Penolong utama kita.
Sesungguhnya ribat ukhuwah yang dijalinkan atas genggaman akidah islamiah itu sangatlah kemas dan tak mampu dirungkai meskipun kekadang salah faham dan pertengkaran tercetus dek kerana kekhilafan dalam beberapa perkara. Kehidupan ini sememangnya perlu dilalui begitu kerana fitrah manusia itu sendiri tidak mampu bersendirian dan jika mereka bersama satu jamaah sudah tentu perbezaan pandangan,citarasa dan kemahuan antara satu sama lain terjadi. Oleh kerana itu sikap toleransi itulah yang diajar oleh Islam agar kita dapat hidup dengan sejahtera dan harmoni. Inilah fenomena yang dapat ku lihat dan ku kutip sepanjang perjalanan ini. manusia yang mempunyai ragam dan karenah yang pelbagai….
Sedikit nasihat buat diri dan sahabat seperjuangan juga adik-adik yang disayangi sentiasa…


Tuhan pertemukan kita di daerah ini,
Dari pertemuan lahirlah satu kekuatan,
Dari kebersamaan lahir pula persefahaman..
Bersatu hati merancang madah perjuangan,
Mengawal atur langkah pergerakan,
Semua tak lain hanya demi menegakkan kebenaran..
Berdiri di bawah satu panji,
Bergerak sebagai satu jemaah Islam
Saling sama ingat mengingati dan saling melengkapi…
Sesungguhnya nikmat paling manis apabila Allah mentarbiyah kita dengan pelbagai ujian…
Namun tautan ukhuwah mampu berdepan dengan sejuta kesulitan…
Yang memberikan suntikan semangat perjuangan..
Alirkan halawatul ukhuwah..
Kesungguhan dalam berjuang melalui robithah hati..

Insan yang ku kasihi…

Jadikanlah dakwah lebih utama selalu..jelmakan setiap sesuatu untuk dakwah..dan lakukanlah setiap perkara kerana dakwah..berkorbanlah pada jalanNya dengan diri,harta, masa dan kerja-kerja kita juga segala sesuatu…nescaya Allah akan memberkati kita..

Salam perjuangan!

Ahad, 23 Januari 2011

K.Mala-Deru langkahmu membangkit semangat!

Setelah berlalunya PRK di Galas, ledakan PRK bersambung kembali di Tenang dan apa yang lebih menarik untuk dikongsi adalah kemunculan calon seorang wanita muda yang berumur 38 tahun. Normala Sudirman atau dengan panggilan mesranya k.Mala. Apa yang istimewanya dengan k.mala ni?? Jika disingkap dalam pilihanraya umum sebelum ini, PAS bukan pertama kali menghantar wakil wanita ke gelanggang pilihanraya atas tiket calon terpilih. YB. Dr.Lo’ Lo’, YB.Senator Zailah, YB. Wan Ubaidah dan beberapa lagi muslimat yang bertanding telah muncul dalam dunia politik Malaysia hari ini. Namun berbeza pada PRK kali ini agaknya kerana k.mala mempunyai daya tarikannya tersendiri bahkan mendapat sokongan dari anak-anak muda mungkin kerana factor usianya yang paling muda berbanding dengan calon wanita lain. Apepun reaksinya, Umno terus mainkan isu bodoh seolah-olah PaS baru menghantar wakil dari wanita.

Umno yang jahil dan buta agama terus melabur isu dan polimik basi kononnya PAS cakap tidak serupe bikin. “Dahulu melarang wanita dari menjadi wakil rakyat, dulu berbuat baik dengan bukan Islam tak boleh, hari ini semuanya boleh…”. Hanya Umno dan BN sahaja tidak pernah dan tidak akan mengerti setiap tindakan yang diambil dan dibuat oleh PAS..kerana mereka sememangnya telah membutakan mata dan memekakkan telinga untuk mendengar penjelasan dan penerangan dari bibir pimpinan PAS. Bukan mereka tidak tahu tetapi buat-buat tidak tahu…suka melobi isu dan Nampak benar kehilangan akal dek kerana sudah tidak mampu mengawal penyakit yang kian membarah.

Firman Allah swt dalam surah Al A'araf yang bermaksud:

179. dan Sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka jahanam banyak dari jin dan manusia Yang mempunyai hati (Tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan Yang mempunyai mata (Tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah) dan Yang mempunyai telinga (Tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat); mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang Yang lalai.

Perjuangannya mendapat restu keluarga


Pas sebuah gerakan Islam yang berpegang dengan prinsip yang jelas dan tidak pernah berpaling meninggalkan prinsip tersebut. Keterlibatan wanita dalam kancah politik sudah jelas tidak melanggar prinsip perjuangan Pas.

Jikalau umno ikhlas memperjuangkan Islam seharusnya menerima siapapun calon yang ditabalkan meskipun dari kalangan wanita kerana Islam tidak membatasi hak berpolitik untuk lelaki sahaja. Masalahnya Umno sangat tertekan kerana calon wanita dari mereka tidak mampu meraih perhatian dan sokongan sepertimana yang ada pada pihakPAS. Bagi Pas siapapun calon yang dilantik kemenangan Islam itulah matlamat utama. Sedangkan Umno berjuang atas dasar sekularisme dan kepentingan dunia mereka. Maka parti manakah yang lebih tulus untuk menegakkan keadilan dan Islam??

Pertembungan antara iman dan kufur adalah sunnatullah yang tidak dapat ditepis. Sejarah dahulu telah merakamkan bagaimana pertembungan ini menjadi tradisi zaman dan warisan sejarah. Sebagai umat mutaakhir kita sering diingatkan dalam Al-Quran dan hadis tentang penyakit yang telah menimpa umat-umat terdahulu. Tugas para Rasul adalah membimbing kaumnya kembali pada Allah. Rasulullah saw telah meninggalkan wasiat yang menjadi tugas penting bagi umat ini untuk meneruskan perjuangan baginda. Perjuangan yang tidak ramai yang sanggup memikulnya…walaupun begitu janji Allah itu pasti..akan tetap ada golongan yang akan berjuang menegakkan Islam dan mereka itu adalah orang-orang yang thabat hatinya dan cintakan Allah dan Rasul melebihi yang lain. Mereka itulah golongan yang disebut dalam Al Quran dalam firmannya yang bermaksud:


54.Wahai orang-orang Yang beriman! sesiapa di antara kamu berpaling tadah dari ugamanya (jadi murtad), maka Allah akan mendatangkan suatu kaum Yang ia kasihkan mereka dan mereka juga kasihkan dia; mereka pula bersifat lemah-lembut terhadap orang-orang Yang beriman dan berlaku tegas gagah terhadap orang-orang kafir, mereka berjuang Dengan bersungguh-sungguh pada jalan Allah, dan mereka tidak takut kepada celaan orang Yang mencela. Yang demikian itu adalah limpah kurnia Allah Yang diberikanNya kepada sesiapa Yang dikehendakiNya; kerana Allah Maha Luas limpah kurniaNya, lagi meliputi pengetahuanNya.


Saya sungguh kagum dengan pemilihan PAS melantik calon wanita muda dalam memacu perubahan sesuai dengan suasana hari ini. Pas bukan sahaja menekankan kepentingan orang muda dalam membangunkan Islam, tetapi peranan muslimat muda juga sangat diberi penekanan dan perhatian. Jelasnya apabila k.mala bersedia memikul amanah yang Maha berat ini membuktikn bahawa beliau ingin membuka mata hati para muslimat hari ini akan keperluan dan tanggungjawab yang tidak mustahil dipikul oleh muslimat muda. Saya yakin ramai kalangan sahabat-sahabat sekalian memuji keberaniaan dan kehebatan k.mala yang sanggup mendepani apa jua cabaran dan mehnah seorang pejuang. Dia ibarat srikandi khaulah Al Azwar yang muncul di tengah peperangan. Peperangan yang lebih dahsyat pada abad ini. semoga keperibadiaan beliau dapat dicontohi oleh generasi muda hari ini seterusnya membangkit semangat untuk terus berjuang walau di mana sahaja kita berada.



k.mala,

kami atur langkahmu

jejak hayunan seorang pewira

laksamani khaulah al azwar

membujur lalu melintang patah!


Isnin, 10 Januari 2011

Marilah Kita Berjuang

1. Mutaakhir ini , landskap sosial negara semakin tenat. 1001 jenis mungkar dan maksiat mula menular ke segenap sendi dan saraf masyarakat . Moral dan adab masyarakat kian pudar dan jati diri mereka kian lumpuh .

2. Arak dengan 1001 jenama , judi dengan 1001 istilah , konsert hiburan dengan 1001 pendekatan , pergaulan bebas dengan 1001 style , jenayah dengan 1001 cara , penyalahgunaan kuasa dengan 1001 kaedah , seks bebas dengan 1001 alasan dan 1001 jenis maksiat dan mungkar yang membawa kefasadan atau musibah buat negara dan penduduknya.

3. Fenomena ini akan mengheret negara dan seluruh isinya menuju kehancuran dan kebinasaan yang total . Undang - undang tidak pedulikan lagi , penguatkuasaan tidak memberi apa - apa erti dan adat kepercayaan turut dinodai .

4. Harapkan pagar , pagar tidak boleh diharap !

- Pemimpin diharap pimpin negara dan rakyat , tahu - tahu mereka menyalahgunakan kuasa dan terbabit dalam rasuah serta pelbagai bentuk maksiat dan mungkar .

- Hakim diharap menegakkan keadilan , tahu - tahu hakim turut terbabit dalam skandal cabul undang - undang .

- Polis diharapkan jaga keamanan , tahu - tahu polis belasah rakyat dan terlibat dengan gengster lalu membuatkan rakyat cemas dan tidak aman .

- Wakil rakyat diharap mewakili rakyat dalam DUN atau Parlimen untuk perjuangkan hak rakyat , tahu - tahu mereka yang songlap duit rakyat dan hanya tidur di dalam dewan .

- Ulama' diharap didik ummah agar berilmu dan jauh dari maksiat , tahu - tahu ulama' hanya diam membisu sambil tangan mengipas - ngipas kepala pemerintah .

5. Harapan yang masih berbaki ialah mengharapkan generasi akan datang , kembali bangun membina tamaddun dan peradaban baru yang mampu membawa negara kembali pulih dari ancaman maksiat dan mungkar . Mendaulatkan peraturan yang diperkayakan dengan nilai insaniah dan rabbaniah .

6. Harapan ini tentunya disandarkan kepada generasi muda hari ini . Mereka adalah pemimpin masa depan . Golongan yang pernah menjadi kebanggaan nabi saw . untuk membarisi golongan teras mendokong cita - cita baginda membangunkan tamaddun yang bebas dari pengaruh mungkar .

7. Besar tapak tangan bersama segala kerendahan diri , saya alu - alukan generasi muda hari ini agar sama - sama kita dokong cita - cita besar untuk pulihkan negara sekaligus membebaskannya dari perangkap kefasadan yang membinasakan . Saya dan seluruh warga Dewan Pemuda PAS Malaysia , insyaallah sabar menunggu dan menanti semua warga muda negara tanpa mengira apa warnanya , apa bahasanya , apa budayanya dan apa agamanya , di kepala jambatan ini untuk kita segera lintas meninggalkan dunia lama dan kita bina dunia baru dengan segala harapan menggunung .

8. Ayuh ! cepatlah anak muda . Kita bergerak sepantas tenaga yang dimiliki , kita merancang serancak kecerdasan yang ada pada aqal sang muda . Kita sahut cabaran musuh yang mahu melihat generasi ini musnah dan hanyut dengan pelbagai ideologi dan kegiatan tajaan mereka dengan jiwa yang besar dan cekal . Tidak mengalah biar ditawar segala keseronokan dan kepuasan justeru kita memahami bahawa segalanya itu hanyalah fatamorgana .

9. Kita tidak punya banyak masa untuk saling harap mengharap antara satu sama lain , demikian juga kita tidak cukup waktu untuk saling tuding menuding antara satu sama lain . Apa yang terbentang dihadapan kita ialah jalan untuk kita berlari laju meninggalkan sempadan lama yang kian binasa .

10. Marilah kita sama - sama bergandingan dan berjuang menuntut perubahan . Gandingan kita semua anak muda akan meringankan beban tugas berat dan kerja yang mencabar untuk membina tamaddun yang baru ini . usah leka dan lalai lagi . Usah asyik dan alpa lagi . Jom Bersama Pemuda , Orang Muda Geng Kita !




Ahad, 2 Januari 2011

Antara Semalam dan Hari ini…


Tirai 2010 telah berlabuh semalam dengan pesta sambutan tahun baru 2011. Kesenjangan ini sungguh mengecewakan tatkala melihat anak-anak muda yang masih mentah dilunakkan dengan budaya hiburan yang melampau. Inikah harapan yang dicanang oleh Dato’ sri Najib dalam ucapan perutusannya mahu membawa pembaharuan yang lebih baik dan seribu macam harapan kononnya rakyat perlu bersatu padu dalam menjana kemajuan Negara. Itulah omongan kosong yang penuh sogokan material. Apa yang ingin dicapai jika jiwa rakyat kian disuburkan dengan maksiat, fahaman agama dipisahkan, akidah koyak, iman luput,krisis kemanusiaan terjejas dengan unsur politik yang disongsangkan.Hari ini cukai perkhidmatan dinaikkan lagi, harga barang kian mencengkam warga miskin, slogan rakyat didahulukan pencapaian diutamakan jelas tidak menepati kehendak agama dan jauh dari membangun kebajikan rakyat. Sebagai rakyat yang sedar dan mengharap sinar baru di ambang sessi baru ini, marilah kita celik dan bangkit dari kebobrokan ini, sudah tiba masanya kita berani untuk berubah dan berjuang untuk memartabatkan Islam dalam seluruh jiwa kita sehingga kita mampu mengubah dunia dengan cahaya hijau.


Sesungguhnya tamadun Islam yang lalu telah membuktikan bahawa asas kemajuan dan kecemerlangan sesebuah Negara itu terletak pada ketinggian akhlak dan nilai-nilai murni bangsanya. Ibnu Kaldun telah menulis dalam buku mukaddimahnya menyebut “ Akhlak dan ilmu pengetahuan tunggak pembinaan dan kejatuhan tamadun. Asas penting pembinaan Negara adalah : Agama,ekonomi, akhlak pemimpin serta rakyatnya”. Justeru mengapakah pemimpian Negara kita hari ini tidak merujuk kepada asas pembinaan tamadun Islam yang sebenar. Mereka hanya menggunapakai system barat yang jelas menjahanamkan Negara. Sekularisme telah bernanah dalam pentadbiran mereka sehingga sukar ditangani. Musuh-musuh Islam telah bertepuk tangan dengan kejayaan mereka untuk memesongkan umat islam dari agamanya. Sedarilah umat sekalian dan bangunlah dari kelalaian kalian untuk mendokong perjuangan yang sebenar iaitu kembali kepada perjuangan yang telah dibawa oleh baginda Nabi Muhammad SAW. Tinggalkan kejahilan yang ada dalam dada kalian dan lihatlah pada kebenaran Islam itu berada di mana. Siapa yang sebenarnya ikhlas memperjuangkan Islam di tanah air kita? Fikirlah dengan mata hati kita..dunia ini sudah tidak selamat jika dipimpin oleh orang-orang yang tamak kuasa dan tidak mahu menegakkan islam dalam kerajaannya. Mereka itu tidak ubah seperti firaun dan namrud. Bila diajak kepada mentauhidkan Allah mereka ingkar malah berusaha menghapuskan ajaran ini dengan membunuh utusan Allah.

Demikianlah Dalam konteks dunia moden ini, bila diajak untuk kembali kepada Islam yang syumul, mereka menempelak dan menuduh dengan bermacam-macam tuduhan, mengamalkan diskriminasi media, manipulasi, bahkan sanggup menikam saudara sendiri. Itulah bentuk-bentuk ancaman dan pembunuhan yang mereka lakukan. Umno bukan lagi parti yang berjuang atas nama Islam. Islam mereka hanya pada diri dan amalan sahaja, mereka mengamalkan Islam secara juzuk sahaja dan meninggalkan juzuk-juzuk yang lain. Firman Allah SWT:

“Apakah kamu beriman dengan sebahagian al-Kitab dan ingkar dengan sebahagian yang lain? Tiadalah balasan orang yang berbuat demikian daripada kamu, melainkan kenistaan dalam kehidupan dunia dan di Hari Akhirat mereka dikembalikan kepada siksa yang sangat berat. Allah tidak lengah daripada apa yang kamu perbuat.” - Surah al-Baqarah: ayat 85

Mereka lebih mengutamakan bangsa melayu. Slogan 1 malaysia sangat jelas meragui akidah seolah-olah mereka ingin menyamakan semua agama. Fahaman liberal sudah tertanam tanpa mereka sedari. Sedangkan Islam yang diperjuangkan PAS telah lama melaksanakan misi ini dengan meletakkan Islam for All, Islam untuk semua itulah yang mempamerkan kesyumulan Islam yang meliputi seluruh bangsa manusia.
Dunia menguasai hati dan kehidupan umat Islam. Umat Islam kasihkan dunia dan bencikan kematian. Apabila ‘aqidah umat telah sakit dan tidak berfungsi, kejahilan menyelubungi kehidupan, ingatan-ingatan Allah SWT diabaikan, dunia menguasai kehidupan dan jihad ditinggalkan, maka Islam menjadi Ghurbah.

Realiti kini, Islam berada di suatu lembah manakala umat Islam berada di suatu lembah yang lain. Islam menjadi sasaran musuh. Ustaz Sa’id Hawwa ada menyatakan:
“Kita dapati Islam dan kaum Muslimin menjadi sasaran musuh luar dan dalam...”

Oleh kerana itu, hayatilah sejarah hijrah Rasulullah SAW dalam memberi pengertian yang amat besar kepada kita selaku penerus perjuangan addin yang suci ini kerana ianya merupakan titik tolak yang pertama dalam menuju perubahan dan matlamat yang diimpikan. Persoalannya ,apakah kita sedar betapa besarnya peranan sejarah untuk kita manfaatnya dan mentadbiqkannya secara amali guna memperbaiki diri,keluarga,jamaah sama ada kecil atau besar,negeri,tanah air serta dunia seluruhnya ke arah Islam yang syumul? Atau apakah telah berpuashati dengan keadaan kita dan negara kita yang jelasnya hanya bertopengkan Islam.

Bersamalah kita membakar semangat dan pengorbanan di dalam diri dengan mengambil Al-Quran sebagai panduan , Sunnah sebagai ikutan. Jadikanlah diri kita cermin kepatuhan Al-Quran dan Sunnah yang berjalan di muka bumi ini .Seharusnya kita berhijrah dari sebarang kepincangan kepada kebaikan dan daripada kebaikan kepada yang lebih baik dan seterusnya yang terbaik. Segala sifat negatif kita gantikan dengan sifat positif, yang suka berprasangka diubah menjadi sebaliknya yang malas diubah menjadi rajin, yang tidak ikhlas diubah kepada keikhlasan yang suci dan lain-lain.Ingatlah bahawa berpegang dengan aqidah dan akhlak islamlah, persaudaraan islam dapat dicapai sebagaimana yang disaksikan di dalam sejarah.

Hijrah 2011: PAS wajib menggantikan UMNO.