:: Dakwatuna ::

Sabtu, 18 Julai 2009

Penjajahan Songsang

Oleh : Khairul Bariah bt. Ahmad

Tertegaknya Islam Kerana Keadilan

Kezaliman dan penindasan penjajah Eropah selama 500 tahun di Tanah Melayu cukup memberi impak yang besar kepada masyarakat di dalamnya malahan dunia turut merasai bahang keangkuhan dan kegilaan itu, apabila serangan ideologi dilancarkan ke atas dunia menyebabkan satu momentum ke atas kesyumulan Islam itu dijadikan teori dan gagasan yang perlu dilaksanakan untuk membolosi dan meruntuhkan tembok kerajaan Islam yang terakhir, Khilafah Turki Uthmaniyyah.

Segala bentuk bumi, corak pentadbiran, politik, ekonomi, sosial, akhirnya tunduk melutut mengikut hawa nafsu manusia yang melampaui batas, menyimpang jauh dari landasan Islam yang sebenar seterusnya meragut keadilan dan kebaikan yang dinaungi Islam seluas 2/3 dunia dek kerana negara-negara Islam dan pemimpin-pemimpin Islam yang lemah telah memutuskan harapan kepada Allah s.w.t yang sepatutnya menjadi tempat bergantung setiap orang Islam. Mereka bukan sahaja mengimport kebendaan Barat tetapi teori, ideologi, falsafah yang diharapkan dapat membina umat Islam.

Hari ini, kita dapat melihat umat Islam hidup di dalam kekacauan dan keresahan menantikan sinar kebahagiaan yang benar-benar dapat mengatasi segala keperluan hidup manusia dalam segala aspeknya yang sesuai dengan fitrah dengan sifat semulajadi manusia sama ada rohani ataupun jasmani, samada individu ataupun masyarakat yang menyentuh segala bidang yang mesti dialami oleh kehidupan manusia.
Walaupun di Greek,India dan China telah mencipta tamadun dan terdapat ahli-ahli falsafah yang mempunyai otak geliga dianggap paling bijak di kalangan manusia, tetapi mereka sanggup meletakkan manusia itu mengabdikan diri kepada makhluk yang lebih rendah daripada manusia itu sendiri. Mengabdikan diri kepada kayu, batu, lembu dan seumpamanya. Ini merupakan keruntuhan yang berlaku di kalangan manusia. Kalaulah tamadun kekayaan ini merupakan perkara yang amat perlu, kalaulah kedatangan Islam untuk mengadakan ladang-ladang, kebun-kebun yang luas yang kononnya menjadi asas kebahagiaan hidup manusia, maka perlu Allah melahirkan Nabi Muhammad di negeri Parsi. Kalau sekadar hendak menciptakan makanan-makanan yang mengenyangkan perut, Allah melahirkan Nabi Muhammad di India dan sebagainya. Tetapi, Nabi Muhammad s.a.w dilahirkan di bumi yang kering kontang dan mundur, menunjukkan kepada kita betapa tamadun yang diterokai oleh Parsi dan Rome yang menjadi kuasa besar manusia ketika itu tidak dapat menjamin kebahagiaan manusia dalam ertikata yang sebenarnya.

Tahukah saudara-saudara sekalian? Di Mesir, orang Islam hanyalah golongan minoriti, ada pun orang-orang kafir yang berada di Mesir pada masa itu adalah golongan majoriti. Di Parsi, Islam adalah minoriti, orang Majusi adalah majoriti. Tetapi dengan keadilan Islam, golongan minoriti Islam telah berjaya melaksanakan hukum Islam yang adil sehingga golongan-golongan majoriti telah menganut Islam dan memeluk agama Islam. Inilah dia keadilan Islam. Oleh itu masalah ada orang kafir, masalah majoriti atau minoriti orang Islam tidak timbul sekiranya Islam itu diberi kesempatan untuk berkuasa, untuk menjalankan hukumnya di bumi Allah, maka Islam akan berjaya menakluk hati-hati manusia dengan keadilan, kebaikan dan kebenarannya.

Satu Kebenaran Sebuah Penjajahan Songsang

Akibat penyelewengan, kelalaian dan kelemahan iman umat Islam telah menyebabkan tentera Monggol yang diketuai oleh Hulagu Khan dari keturunan Ghenzis Khan dengan mudah menakluki Baghdad, pusat pemerintah kerajaan Islam ‘Abasiyyah. Bandaraya Baghdad dan penduduknya dibunuh kejam sehingga ibu kota tersebut menjadi kolam darah dan bukit mayat. Kitab-kitab para ulama’ yang ada di perpustakaan di sekitar Baghdad telah dibakar atau dipunggah ke sungai untuk dijadikan jambatan bagi menyeberangi sungai Furat dan Dajlah hingga menyebabkan air sungai menjadi hitam oleh dakwat dari pena para ulama’ Islam.
Setelah berkuasa di Baghdad, penjajah Monggol merangka suatu undang-undang yang dinamakan Yasar bagi menggantikan undang-undang Islam. Undang-undang ini adalah campuran dari ajaran Yahudi, Kristian, Islam dan hasil pemikiran mereka. Mereka memasyhurkan undang-undang ini dan memaksa seluruh rakyat untuk tunduk kepadanya.

Namun demikian umat Islam masih tidak mahu melepaskan pusaka yang ditinggalkan oleh Rasulullah s.a.w yang diperjuangkan generasi sahabat. Mereka lebih rela menerima kezaliman melalui penyeksaan hatta penyembelihan daripada tunduk di bawah sebarang undang-undang yang lain dari undang-undang Islam.
Hasil dari ketegasan umat Islam yang tidak mahu tunduk di bawah undang-undang Yasar, menyebabkan kekuatan iman umat Islam yang terjajah berjaya memerintah bangsa Mongol yang menjajah. Sejarah telah membuktikan penjajahan songsang ini berlaku dan bagaimana penjajah Monggol menyerah kalah lalu melemparkan undang-undang Yasar yang digubal oleh tangan-tangan mereka sendiri dan menganut Islam. Akhirnya penjajah Monggol telah turut memberikan sumbangan yang besar di dalam sejarah dunia Islam.
Cuba kita bayangkan, bagaimana pemilik hati dan iman orang-orang yang dijajah, akhirnya menjajah hati-hati penjajah yang tidak pernah berlaku dalam sejarah manusia di mana bangsa yang menjajah telah menganut agama bangsa yang dijajahinya sendiri. Tidak terdapat suatu dokumentasi sejarah yang mencatatkan insiden ini melainkan di dalam sejarah Islam. Orang-orang Mongol yang dahulunya merupakan suku bangsa dari Asia Barat yang liar dan ganas, akhirnya menjadi penganut Islam yang setia berubah akhlak dan peribadinya kepada bangsa yang bertamadun melalui akidah Islam yang dianuti. Mereka bergerak membawa dan menyampaikan Islam ke seluruh pelusuk dunia.

KESIMPULAN

Sekalipun pemerintahan Islam itu di ambang kejatuhan dan kelemahan, biasanya mereka masih dapat bertahan melainkan setelah musuh Islam melancarkan serangan ideologi yang tercetus daripada teori dan gagasan memisahkan urusan agama dengan dunia kesan daripada Revolusi Eropah. Namun, jika sesuatu bangsa yang bertamadun hanya disebabkan oleh harta dan kekayaan dunia, ia tidak akan kekal yang akhirnya akan jatuh jua dan akan merendahkan martabat manusia itu sendiri. Sebagai kesimpulan, suatu bangsa yang bertamadun adalah bangsa yang menganut Islam dan menjalankan syariatnya serta kebaikan dan keadilan di dalamnya. Maka, penjajahan itu bukan selamanya dilihat sebagai negatif selagimana uslub, manhaj dan matlamatnya hanya untuk Islam.

Buatlah Sesuatu Untuk Islam

Sesungguhnya situasi ini sangat memedihkan bagi hati-hati muslim, yang bekerja untuk agamanya, dan memahami firman Allah

" Allah menjanjikan orang-orang Yang beriman dan beramal soleh dari kalangan kamu (Wahai umat Muhammad) Bahawa ia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah Yang memegang Kuasa pemerintahan di bumi, sebagaimana ia telah menjadikan orang-orang Yang sebelum mereka: khalifah-khalifah Yang berkuasa; dan ia akan menguatkan dan mengembangkan ugama mereka (ugama Islam) Yang telah diredhaiNya untuk mereka; dan ia juga akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan (dari ancaman musuh). mereka terus beribadat kepadaKu Dengan tidak mempersekutukan sesuatu Yang lain denganKu. dan (ingatlah) sesiapa Yang kufur ingkar sesudah itu, maka mereka itulah orang-orang Yang derhaka."
(Al-Nur: 55)

Sampai bila musuh-musuh sentiasa menyembelih, merampas dan membunuh, dan respon kita hanyalah sekadar kutukan-kutukan kemarahan, sedikit sumbangan duit, atau hanyalah mengikuti berita-berita di telivisyen dan surat-surat khabar. Kemudian respon itu pun mereda, dan digantikan dengan futur dan kelemahan, dan kita sekali lagi kembali melakukan kerja-kerja peribadi dan kepada dunia yang fana ini, kepada tidur yang nyenyak. Tidur ini akan berterusan sehinggalah apabila musuh sekali lagi melakukan keganasan, lalu kita sekali lagi respon dengan kemarahan seperti sebelum.. dan begitulah seterusnya.

Kita mesti berfikir! Respon kita mestilah yang berstrategi panjang, strategi yang bertujuan menaikkan kalimah Allah di muka bumi dan memartabatkan islam di seluruh dunia. Ini semua dengan tujuan meraih salah satu dari dua kebaikan, sama ada kemenangan ataupun mat syahid di jalan Allah.

Kita mungkin tertanya-tanya: kenapa semua ini hanya berlaku kepada orang-orang islam?! Jawabannya tentulah lebih diketahui oleh orang-orang islam sendiri sebelum diketahui oleh orang lain. Ini semua adalah kerana mereka telah merendahkan agama mereka, dan keredhaan mereka kepada kehidupan akhirat berbanding akhirat. Orang-orang islam ini menyerah kepada keadaan yang menghina oleh Negara-negara barat, tekanan yang bertujuan menjamin kemaslahatan mereka dan kemaslahatan yahudi semata.

Hasan Al-banna berkata: sesungguhnya umat yang mahir mencipta kematian dan mengetahui bagaimana mati secara mulia, Allah akan menganugerahkan kepadanya kehidupan yang mulia di dunia dan kenikmatan di akhirat. Tiada kelemahan yang telah menghina kita kecuali cinta dunia dan benci mati… Maka siapkan lah diri kamu untuk pekerjaan yang besar, dan sentiasa bersiap untuk mati nescaya kamu akan diberi kehidupan.

Kita harus ketahui bahawa umat islam sekarang hidup dalam suatu kondisi yang paling memalukan sepanjang sejarahnya. Umat ini sangat memerlukan kepada kesatuan saf, mengerahkan tenaga, keikhlasan dalam beramal, kesucian niat, mengumpulkan kemampuan-kemampuan , kekuatan, dan tenaga. Serta memanfaatkan semua itu untuk bersaha keluar dari bencana yang menimpanya. Harus diketahui bahawa umat ini dalam bahaya yang besar jika tidak mendapat perhatian Allah.

Sama-sama kita ingati titah Saidina Umar bin Khattab kepada rakyat Al-Quds sebelum dia kembali ke madinah selepas Islam Berjaya menawan kota itu. “wahai umat islam, sesungguhnya Allah telah menepati janjinya. Dia telah menolong kamu menentang musuh-musuh kamu, mewariskan negeri-negeri ini kepada kamu dan menjadikan kamu berkuasa di mukan bumi. Janganlah kamu membalasnya kecuali dengan kesyukuran. Jauhilah kemaksiatan kerana kemaksiatan ialah kufur dengan nikmat. Tiada suatu kaum yang kufur dengan nikmat kemudian mereka tidak bertaubat, kecuali Allah akan merentap kemuliaan mereka dan menaklukkan musuh ke atas mereka.”

Apakah yang telah kita lakukan untuk menjadikan Allah redha dengan kita? dan seterusnya menguatkan kita, membantu kita, dan mewariskan dunia ini kepada kita agar dunia ini ditadbir dengan keadilan, kasih sayang dan kerahmatan.

Kewajipan yang banyak..
Mari bersama-sama kita mencatit apa yang kita mampu lakukan untuk islam kita, setiap orang sekadar kemampuannya.

Hasan al-Banna telah menyebut banyak kewajipan seorang pemuda islam, yang mampu kita lakukan. Antaranya:

1. Memperbaharui perjanjian dengan Allah azza wajalla untuk kita bekerja unutk islam sehingga berjaya atau beroleh syahadah (syahid)

2. Sentiasa muroqobatullah dan mengikhlaskan niat dalam semua amalan

3. Sentiasa memperbaharui taubat dan istighfar, membebaskan diri dari dosa-dosa kecil lebih-lebih lagi dosa besar, dan bersikap wara’ dalam perkara syubhat supaya tidak terjatuh dalam perkara haram.

4. Memperbaiki bacaan Al-Quran dan mentadabburi makna-maknanya, mengkaji sirah nabi, sejarah-sejarah salaf (orang-orang terdahulu) semampu mungkin. Juga mempelajari asas-asas akidah, cabang-cabang hokum dan rahsia-rahsia syari’ah.

5. Sentiasa melawan nafsu dengan keras agar mudah mengawalnya, menundukkan pandanganmu, dan mengawal perasaan dan syahwat dalam dirimu serta membawanya kepada perkara halal dan menghalanginya dari perkara haram walau sedikit.

6. Memperbaiki solatmu dengan sentiasa menunaikannya di awal waktu di masjid secara berjamaah sekadar kamu mampu.

7. Berpuasa ramadhan dengan sebaiknya.

8. Sentiasalah berdoa dan jadikan lidahmu sentiasa basah dengan zikrullah.

9. Amar makruf dan menegah kemungkaran.

10. Sentiasa berniat untuk berjihad, dan membuat persediaan untuknya semampumu.

11. Membiasakan diri dengan sejenis riadah walaupun berjalan

12. Sentiasa memastikan setiap kerja dilakukan secara sempurna dari segi kualiti, kegigihan , tidak menipu dan menepati waktu.

13. Sentiasa bercakap benar, tidak sekali-kali menipu. Mempunyai kemahuan yang kuat, tidak sekali-kali ragu.. Menepati janji, tidak memungkiri janji dalam apa jua keadaan.

14. Bersikap berani, sanggup menanggung beban. Sebaik-baik keberanian adalah berterus-terang dalam perkara yang hak, menyembunyikan rahsia, mengaku jika tersalah, bersikap adil dan mengawal hati ketika marah.

15. Mendidik anak kamu dengan didikan islam yang benar dan seimbang. Supaya mereka menjadi murni akidahnya, betul ibadahnya, baik akhlaknya, berfikiran luas, kuat badannya, memberi manfaat kepada orang lain, dan menjaga waktu.

16. Memboikot produk-produk amerika dan yahudi. Sebaliknya menyokong produk-produk dan syarikat-syarikat ekonomi orang-orang islam, dan sentiasa memastikan duitmu tidak jatuh kecuali dalam tangan saudaramu walau dalam apa jua keadaan. Janganlah memakai dan makan kecuali dari hasil negeri islam.

17. Kenali musuhmu dan kaji peribadinya sebaik mungkin

18. Sentiasa aktif dan terlatih dalam melakukan khidmat masyarakat, sehingga merasa bahagia jika kamu dapat berkhidmat kepada orang lain, menziarahi pesakit, menenangkan orang susah walau dengan perkataan yang baik, dan sentiasa memberi khidmat dan sumbangan.

19. Jagalah anak yatim, lindungilah perempuan, jalinlah silaturrahmi, maafkanlah orang yang menzalimimu, damaikanlah antara dua pihak, ajarlah orang yang jahil, dan siapkanlah seorang pejuang.

20. Kamu mesti ketahui bagaimana menuntut hak kamu, dan menunaikan hak-hak orang lain dengan sempurna tidak kurang sebelum mereka menuntutnya, dan janganlah melambat bayar hutang.

21. Berusaha sekadar kemampuan untuk menghidupkan budaya-budaya islam dan memerangi budaya luar dalam semua aspek kehidupan contohnya dalam aspek memberi salam, bahasa, sejarah, pakaian, waktu bekerja dan lain-lain.

22. Memberikan sumbangan untuk menyebarkan islam di semua tempat, menunaikan zakat yang wajib dari hartamu, dan mengkhususkan sebahagian untuk peminta sedekah dan orang miskin

Luahan hati aktivis dakwah: Allahyarham DR. Fathi Yakan Rahimahullah