Jumaat, 4 September 2009

Ramadhan : Manisfestasi mencari redha Allah

Salam ramadhan kareem buat semua saudara seakidahku sekalian. Mudah-mudahan dengan keberkatan yang terhidang luas ini memberi kesempatan sepenuhnya untuk kita teguk mengutip fadhilat serta mencipta perubahan diri ke arah yang lebih baik. Sesungguhnya ramadhan bulan untuk meraih rahmat,maghfirah dan perlepasan dari api neraka…tujuannya yang paling besar adalah untuk melahirkan mukmin yang bertaqwa...ibarat gedung ibadah yang melimpah ruah menunggu untuk dicucuk tanam dan sudah tentu akhiratlah tempat kita menuainya. Ungkapan para ulamak sering kita dengari dunia adalah jambatan ke akhirat…justeru bersempena dengan ramadhan al Mubarak ini sukalah saya berkongsi dengan pembaca budiman semua sebuah buku yang menarik untuk dihadam sepanjang bulan ini iaitu Konsep Ibadah Dalam Islam yang dikarang oleh penulis berjiwa telus dan ikhlas dalam gerakan dakwah. Beliau adalah As Syeikh Muhammad Abdullah Al khatib. Yang merupakan seorang ulama’ kelahiran Mesir dan pernah mendapat pendidikan di Al Azhar. Beliau adalah seorang murabbi(pendidik) begitu gigih dan sentiasa berhempas pulas untuk menyedarkan masyarakat. Sebahagian dari usia beliau dihabiskan untuk kerja kerja amal dan menulis buku buku yang begitu bernilai. Beliau telah lama bergiat aktif di dalam bidang penulisan dan banyak hasil karyanya yang tersiar di dalam akhbar berbahasa Arab samada dalam bentuk rencana, makalah, esei dan pelbagai wacana ilmiyah lagi. Sentuhan pena beliau yang begitu berani menyanggah segala ideologi sesat yang melanda ummah adalah antara tulisan beliau yang benar-benar membuka minda kita untuk mengetahui hakikat yang sebenar.

Buku ini telah diterjemahkan oleh sahabat kita dari mesir iaitu saudara Ahmad Hasan bin Mohd Nazam dan Mohd Nizam bin mohd Ali. Menyentuh tentang sekitar buku ini secara keseluruhannya, penulis mengajak kita merenung dan memerhati sedalam dalamnya tentang konsep ibadat yang sebenar. Rata-rata masyarakat kita memahami ibadat dalam skop yang sempit, tidak lebih daripada sembahyang lima waktu, puasa, haji, menunaikan zakat dan lain- lain ibadat khusus sedangkan hakikat ibadat yang sebenarnya mencakupi segenap perilaku insan dalam kehidupannya, merangkumi segala urusan keduniaan, kemasyarakatan, rumah tangga dan lain lain lagi, asalkan diniatkan semata-mata kerana Allah. Inilah hakikat ibadat yang ingin dijelaskan oleh penulis. Begitulah indah dan syumulnya Islam jika betul-betul difahami dan dihayati. Selamat membaca…

Bahagaian 1 : IBADAT MEMELIHARA INSAN


Ditanya seseorang:

“Apakah amalan yang boleh menyelamatkan manusia di saat arus maddiyyah terus berleluasa dan menjadi jadi sehingga menenggelamkan dan merosakkan hati??


Sahabatnya Menjawab:

Dirikan disekelilingmu tembok yang boleh menghalangmu dari hanyut bersama arus maddiyyah. Berusahalah untuk membersihkan saki baki hanyiran kesan kotoran maddiyyah, lemparkan ia keluar tembok. Maka bersihlah hatimu dari segala yang boleh menghanyutkanmu dan dapat menghirup udara nyaman.
Tazkirah Du`at

PENGERTIAN IBADAT

Semurni-murni status seorang hamba dan amalan mendekatkan (qurbah) diri kepada Allah SWT yang paling tulus ialah dengan beribadat. Ia merupakan satu-satunya jalan yang menyampaikan kita kepada Allah SWT.

Menurut Ibnu Taimiyyah r.h: “Ibadat (satu nama) merangkumi segala apa yang disukai Allah samada perkataan atau perbuatan yang berbentuk lahiriah dan batiniah.”
(Risalah al Ubudiyah)

Ibadat juga adalah benteng asas yang paling kukuh dan tulen selepas aqidah, untuk melahirkan pemuda sepertimana yang dikehendaki oleh Islam dan sesuai untuk dijadikan tembok untuk mempertahankan Islam. Apabila mengadap ke bawah duli, Tuhan semesta alam, dia dapat merasakan dirinya sentiasa diperhatikan, ruang ibadat di sekelilingNya penuh dengan manusia yang khusyuk merafa` sembah, mengadap tuhan, dengan rasa penuh kehambaan. Hatinya berdenyut kencang merasakan kehebatan Tuhan dan melahirkan rasa khusyuk yang tulus, apabila mereka benar-benar memahami konsep ibadat, dapat merasakan kemanisan iman dan lazat ketika mentaati Allah Rasulullah SAW telah bersabda: “Telah berkata Allah SWT yang bermaksud:
(Wahai anak Adam! Terdapat empat perkara iaitu: Satu untukKu, satu untukmu, satu untukKu dan untukmu dan satu untukmu dan makhlukKu.”Untuk Ku” ialah hendaklah kamu menyembah Ku dan tidak menyekutukan Aku. “Untuk mu”, ialah Aku memberi ganjaran di atas amalanmu ketika mana kamu benar-benar berhajat padanya. “Untuk Ku dan untuk mu” ialah doa daripada engkau dan aku menerimanya “Untuk mu dan makhluk Ku” ialah hendaklah kamu mendatangi manusia sepertimana engkau suka mereka mendatangi engkau).

Daripada Abdullah bin Amru: Sifat Rasullullah SAW yang disebut dalam Taurat ialah: Sesungguhnya Kami utuskan sebagai saksi, pembawa khabar gembira, pemberi peringatan dan benteng kepada ummiyyin. Engkau adalah hambaKu dan utusanKu. Aku namakan engkau Al Mutawakkil (yang bertawakkal) Engkau bukanlah seorang yang keras dan kasar. Kejahatan tidak dapat dihapuskan dengan kejahatan tetapi dihapus dengan kebaikan. Amalan kejahatan itu akan diampun. Aku tidak akan mencabut Nyawanya melainkan setelah ia membetulkan pegangan agama yang salah. Mata yang buta menjadi celik, telinga yang pekak kembali mendengar dan hati terbuka untuk mengatakan: لا إله إلا الله.

Allah telah menyifat Rasullullah SAW di dalam hadis ini dengan Ubudiyyah (perhambaan). Ini merupakan satu tanda penghormatan dan kemuliaan untuk baginda junjungan besar Rasulullah SAW. Ini disebut di dalam surah Al Isra’ Allah SWT telah berfirman:

سبحان الذي أسرى بعبده ليلا من المسجد الحرام الى المسجد الأقصى

Maksudnya: Maha suci Allah yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al Haraam (di Mekah) ke Masjid Al Aqsa (di Palestin).
(Al Isra’: 1)

Allah SWT telah menyifatkan para malaikat sebagai hamba kepada Allah SWT sepertimana firmanNya:

وقالوا اتخذ الرحمن ولدا سبحانه ، بل عباد مكرمون ، لا يسبقونه بالقول وهم بأمرهم يعلمون

Maksudnya: Dan mereka (yang musyrik) berkata: “(Allah) Ar Rahman mempunyai anak.” Maha sucilah Ia. Bahkan (mereka dikatakan menjadi anak Allah itu) ialah hambanya yang dimuliakan. Mereka tidak mendahuluinya dengan perkataan dan mereka pula mengerjakan apa yang diperintahkannya.
[Al Anbiya’: 26 & 27]

Allah SWT telah berkata kepada Nabi Musa AS dalam firmanNya:

إنني أنا الله لا إله إلا أنا فاعبدني وأقم الصلاة لذكري
Maksudnya: “Sesungguhnya Akulah Allah; tiada Tuhan melainkan Aku; oleh itu sembahlah akan Daku, dan dirikanlah sembahyang untuk mengingati Daku.
[Taha: 14]

Allah SWT telah mengingatkan tentang Saidina Isa AS dalam firman Allah SWT:

إن هو إلا عبد أنعمنا عليه وجعلناه مثلا لبني إسرائيل
Maksudnya: Nabi Isa itu tidak lain hanyalah seorang hamba yang telah Kami kurniakan ni`mat kepadanya (dengan pangkat Nabi), dan Kami jadikan dia satu contoh (kekuasaan Kami yang menakjubkan) bagi kaum Bani Israil.
[Az Zukhruf: 59]

Firman Allah SWT:
لن يستنكف المسيح أن يكون عبدا لله ولا الملائكة المقربون ومن يستنكف عن عبادته ويستكبر فسيحشرهم عليه جميعا.
Maksudnya: (Nabi Isa Al Masih tidak sekali-kali enggan dan angkuh daripada menjadi hamba bagi Allah, dengan demikian juga (sikap) malaikat yang sentiasa berdamping (dengan Allah). Dan sesiapa yang enggan dan angkuh daripada beribadat (menyembah dan menghambakan diri kepada Allah), serta berlaku sombong dan takabbur, maka Allah akan menghimpunkan mereka semua kepadanya.
[An Nisa’: 172]

Firman Allah SWT:

قال ربكم أدعو ني استجب لكم إن الذين يستكبرون عن عبادتي سيدخلون جهنم داخرين

Maksudnya: Dan Tuhan kamu berfirman: “Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong dan takabbur daripada beribadat dan berdoa kepada Ku, akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina.
[Al Ghafir: 60]

Firman Allah SWT:
ومن آياته الليل والنهار والشمس والقمر لا تسجدوا للشمس ولا للقمر واسجدوا لله الذي خلقهن إن كنتم إياه تعبدون. فإن استكبروا فالذي عند ربك يسبحون له بالليل والنهار وهم لا يسأمون.

Maksudnya: Dan di antara tanda-tanda kekuasaanNya ialah malam dan siang, serta matahari dan bulan. Janganlah kamu sujud kepada bulan, dan sebaliknya hendaklah kamu sujud kepada Allah yang menciptakannya, kalau betulah kamu hanya beribadat kepada Allah. Oleh itu, kalau mereka tetap ingkar dengan angkuhnya (daripada mematuhi perintah Allah dan mengesanNya, maka tidaklah menjejaskan kebesaran Tuhan), kerana malaikat-malaikat yang ada di sisi Tuhanmu tetap bertasbih kepadanya pada waktu malam dan siang, dengan tidak mereka mersa jemu.
[Fusilat: 37]

Dan Allah SWT berfirman lagi:
أن كل من في السموات والأرض إلاآتي الرحمن عبدا لقد أحصاهم وعدهم عدا وكلهم آتيه يوم القيامة فردا

Maksudnya: Tiada siapa pun di langit dan di bumi melainkan ia akan datang kepada (Allah) Ar Rahman, sebagai hamba. Demi sesungguhnya! Allah telah mengira mereka (dengan pengetahuanNya) serta menghitung satu persatu. Dan mereka masing-masing akan datang mengadapNya pada hari kiamat dengan seorang diri.
[Maryam: 93, 94 & 95]


Seruan pertama setiap risalah:

Seruan pertama pada setiap risalah nubuwwah melalui lisan para Anbiya’ ialah seruan untuk beribadat dan mentaati Allah. Allah SWT telah berfirman:
وما أرسلنا من رسول إلا نوحي إليه أنه لا إله إلا أنا فاعبدون
Maksudnya: Dan kami tidak mengutus sebelummu (wahai Muhammad) seorang Rasul melainkan kami wahyukan kepadanya: “Bahawa sesungguhnya tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Aku. Oleh itu beribadatlah kepadaKu.
[Al Anbiya’: 25]

Allah SWT telah menjelaskan dengan penuh ketelitian tentang betapa perlunya kita melakukan ibadat kepada Allah dan menjauhi segala bentuk perbuatan yang tiada kena mengena denganNya. Allah SWT telah berfirman:

ولقد بعثنا في كل أمة رسولا أن اعبدوا الله واجتنبوا الطاغوت
Maksudnya: Dan sesungguhnya Kami telah mengutuskan dalam kalangan tiap-tiap umat seorang Rasul (dengan memerintahkannya menyeru mereka): “Hendaklah kamu menyembah Allah dan jauhilah taghut.”
[An Nahl: 36)

Ini merupakan perintah dan Iradah Allah ke atas hambanya yang mana Allah SWT menyuruh setiap hamba mentaatinya sepertimana Allah menyuruh hambanya menjauhi perbuatan syirik dan segala bentuk amalan yang sesat. Semua para Anbiya’ dan para Rasul berada di atas landasan ini, di dalam satu angkatan menuju halatuju yang sama, iaitu menuju maksud menggesa seluruh umat manusia untuk mengabdi diri semata-mata kepada Allah SWT menjauhi segala amalan syirik, penyembahan berhala dan membenteras segala macam kesesatan samada dengan menggunakan kata-kata mahupun dengan perbuatan.

Pengarang kitab Fi Zilal al Quran memberi komentar tentang halatuju seruan para Rasulullah (utusan Allah) dan menjelaskan maksud tertentu yang dikehendaki oleh para Rasulullah daripada bangsa di kalangan kaum mereka sepertimana berikut:

• Peri pentingnya prinsip ini (mentauhidkan Allah) berdasarkan kaedah Tasawwur Al-Islami.
(مقومات تصور الإسلامى)

• Kesilapan Methodologi Perbandingan Antara Agama, mengenai proses evolusi aqidah dan tidak terkecuali juga agama-agama samawi (agama yang diturunkan dari langit).

Ini adalah satu kesilapan yang amat serius. Beliau menafikan mengenai evolusi aqidah dan juga ibadat. Beliau menyebut lagi bahawa sesungguhnya risalah suci yang diturunkan dari langit (risalah samawiyyah) sejak mula diturunkan sehingga dewasa ini adalah dengan prinsip yang satu iaitu tetap dengan aqidah mentauhidkan Allah, semenjak diciptakan muka bumi ini sehinggalah ke hari qiamat. Ustaz Syed Qutb meneruskan lagi komentarnya mengenai bahaya konsep yang sebegini:

Konsep ini berbahaya terhadap aqidah yang sahih. Konsep yang dimaksudkan ialah dakwaan kononnya risalah yang dibawa oleh para Nabi hanyalah merupakan perkembangan ekoran percubaan demi percubaan ummat sejagat dan juga merupakan proses evolusi di dalam bidang kepercayaan.

Seterusnya beliau menjelaskan:

Sesungguhnya permasalahan sebenar ialah mentauhidkan Allah dan mengesakannya dengan tauhid Uluhiyyah dan ‘Ubudiyyah tanpa menyekutukannya. Kepercayaan penuh kepada Allah tanpa ada sebarang percanggahan. Ia merupakan permasalahan I’tiqad yang utama dan hakikat sebenar pada setiap risalah yang di bawa oleh para anbiya’ (nabi-nabi) sepanjang zaman.


MATLAMAT IBADAT

Reformasi insan:

Insan yang soleh sentiasa mengukur segala urusannya dengan neraca rabbani dan sentiasa berhati-hati di dalam setiap perkataan dan perbuatan.

Inilah merupakan matlamat yang sebenar daripada Method Tarbiyyah Islamiyyah dan inilah juga hasil yang amat diharapkan. Di sana terdapat perbezaan yang ketara di antara insan soleh yang beramal untuk Islam dan pribumi pejuang kebangsaan yang memperjuangkan method Tarbiyyah Basyariah Ini adalah method ciptaan yang langsung tidak memahami method rabbani. Menafikan peranan suci method ini (method rabbani) di dalam melahirkan insan soleh yang hakiki.

Di sana terdapat dua perbezaan yang ketara di antara dua method ini:

• Insan Muslim: Menyembah Allah yang maha Esa dan sentiasa
menghampirkan diri dengan Allah di dalam setiap amalan.

• Manakala pejuang kebangsaan: Berjuang untuk kepentingan golongan
tertentu. Berjuang untuk menjadi pemimpin, berusaha sedaya upaya untuk
mencapai matlamat kebendaan dan kepentingan aliran yang dianutinya sahaja.

Matlamat insan soleh bukan pada hidupnya sahaja tetapi untuk mencari keredhaan Allah. Di sinilah wujudnya perbezaan yang ketara:

• Ciri-ciri insan yang soleh:
Ciri-ciri ini terkandung di dalam method rabbani yang unggul. Ia disemadikan di dalam kitab suci yang diturunkan daripada Allah SWT dan diperjelaskan lagi melalui sunnah Nabi. Dipelihara menerusi realiti kegemilangan sejarah manusia dalam membina kehidupan

Allah SWT menerangkan sifat sifat mereka di dalam Al Quran:
التائبون العابدون الحامدون السائحون الراكعون الساجدون الآمرون بالمعروف و الناهون عن المنكر والحافظون لحدود الله وبشر المؤمنين
Maksudnya: (Mereka itu ialah): Orang–orang yang bertaubat, yang beribadat, yang memuji Allah, yang mengembara (untuk menuntut ilmu dan mengembangkan Islam), yang ruku`, yang sujud, yang menyuruh kebaikan dan melarang daripada kejahatan, serta yang menjaga batas-batas hukum Allah. Dan gembirakanlah orang-orang yang beriman (yang bersifat demikian).
(At Taubah: 112]

Islam telah menjadikan keimanan kepada Allah yang esa yang bersifat dengan segala sifat kesempurnaan yang mutlak, untuk membersihkan akal insan daripada segala bentuk penyembahan berhala dan membebaskan manusia daripada khurafat yang menghumban manusia terjerumus ke lembah khayalan. Sesungguhnya fahaman keberhalaan melenyapkan segala kemuliaan insan dan menjadikan pemikiran mereka mundur dan mencampakkan manusia ke jurang yang tidak selayaknya Apa lagi yang dimiliki oleh manusia dari segala bentuk karamah dan kemuliaan bilamana mereka terjebak dengan penyembahan batu, memuliakan lembu, anak sapi dan patung.

Sehinggakan Islam melarang hambanya bersembahyang di hadapan kubur sepertimana juga Islam melarang hambanya bersumpah dengan selain daripada Allah SWT. Itu semua semata mata untuk memelihara daripada membesar dan mengagungkan selain daripada Allah SWT.

Saidina Umar Al Khattab RA ketikamana melihat manusia mengambil berkat dengan pokok yang di bawahnya pernah dimetrai perjanjian Ridhwan (Bai’ah Al-Ridhwan) pada hari Hudaibiyyah, Saidina Umar bimbang suatu kesan negatif terhadap aqidah umat Islam akan berlaku, maka beliau menebang pokok tersebut. Islam telah mencantas segala ruang-ruang yang boleh mendatangkan syubhat kerana ia boleh menjerumuskan umat Islam dan juga berperanan untuk menaungi manusia agar berjalan di atas landasan yang sebenar.

Islam telah menjadikan ibadah sebagai alat menyucikan jiwa, membersihkan amalan dari segala bentuk noda dan dosa. Ibadat diasaskan sebagai penjamin proses penyucian ini bilamana ianya dilaksanakan sebaik mungkin dan dijaga segala intipati ibadat tersebut.


Ibadat menjamin kebebasan manusia:

Sejak awal lagi, Islam telah membebaskan manusia daripada mengunakan perantaraan dan menjadikan hubungan langsung antara hamba dan khaliqnya (penciptanya). Ulama’ Islam yang memiliki ilmu yang mendalam dalam bidang agama bukannya untuk dijadikan perantaraan antara tuhan dengan hamba-Nya. Ibadat tidak ditolak dan diterima dengan sebab mereka. Bahkan mereka semua, sama sahaja di sisi Allah. Dan mereka diamanahkan untuk mengajar manusia lain dan ditegah menyembunyikan ilmu. Mereka lebih bertanggungjawab di hadapan Allah terhadap diri mereka sendiri dan terhadap orang lain berbanding dengan mereka yang tidak mengetahui. Allah Ta`ala mengecam golongan yang menyembunyikan ilmu dan bakhil melalui firman-Nya:

إن الذين يكتمون ما أنزلنا من البينات والهدى من بعد ما بيناه للناس فى الكتاب أولئك يلعنهم الله ويلعنهم اللاعنون ، إلا الذين تابوا وأصلحوا وبينوا فأولئك أتوب عليهم وأنا التواب الرحيم.
Maksudnya: Sesungguhnya orang–orang yang menyembunyikan apa yang telah Kami turunkan dari keterangan-keterangan dan petunjuk hidayah, sesudah Kami menerangkannya kepada manusia di dalam kitab Suci, mereka itu dilaknat oleh Allah dan dilaknat oleh sekalian makhluk. Kecuali orang yang bertaubat, dan (memperbaiki amal buruk mereka) serta menerangkan (apa yang mereka sembunyikan); maka orang-orang itu, Aku terima taubat mereka, dan Akulah Yang Maha Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani.
[Al Baqarah: 159 & 160]

Ini merupakan ancaman yang menakutkan terhadap mereka yang mengetahui kebenaran kemudian menyembunyikannya kerana ingin lari daripada tanggungjawab semata-mata untuk tujuan keduniaan. Ini merupakan keadaan yang wujud pada setiap masa dan di setiap tempat.

أولئك يلعنهم الله ويلعنهم اللاعنون
Maksudnya: mereka itu dilaknat oleh Allah dan dilaknat oleh sekalian makhluk.
[Al Baqarah:159]

Seolah-olahnya mereka berada di dalam laknat dari khalayak manusia, kemudian dibuka pula peluang keemasan bagi sesiapa sahaja yang mahu bertaubat, kembali kepada Allah dan memperbaiki hubungan antara hamba dengan Khaliqnya. Menyatakan kebenaran dan berpegang teguh dengan-Nya. Dengan itu taubatnya diterima oleh Allah SWT dan menghapuskan segala kesilapannya. Para ulama tidak memiliki kekuasaan dalam hal anutan keagamaan sehingga boleh menganugerahkan syariat Islam kepada orang lain tetapi mereka hanya sekadar sebagai pembimbing untuk memandu manusia. Prinsip ini dinyatakan oleh Allah SWT di dalam Al Quran:

فذكر إنما أنت مذكر لست عليهم بمسيطر
Maksudnya: Bukanlah engkau seorang yang berkuasa memaksa mereka (menerima ajaran Islam yang engkau sampaikan itu).
[Al Ghasyiah: 21 & 22]

Dan juga firman Allah:

ليس لك من الأمر من شيء
Maksudnya: Engkau tidak berhak sedikipun (wahai Muhammad dalam urusan orang yang ingkar itu)
[Ali Imran: 128]

Rasulullah SAW pula bersabda kepada anaknya Fathimah Radhiallahu ‘anha:

يا فاطمة بنت محمد اعملي لا اغني عنك من الله شيئا
Maksudnya: “Wahai Fatimah binti Muhammad, beramallah, aku tidak dapat membela kamu di hadapan Allah sekali-kali.”
(Sirah Ibn Hisyam: Jilid 1)

Islam telah membebaskan ibadat daripada sebarang kaitan dengan perantaraan dan demikian juga dengan tempat-tempat tertentu yang dianggap keramat. Di dalam Islam setiap tempat adalah sesuai untuk beribadat selagi mana ianya suci. Tidak kira samada di padang pasir, atas kapal laut, kapal terbang, keretapi atau masjid-masjid yang khusus untuk beribadat. Setiap hamba mampu untuk menuju kepada Allah dan menghubungkan hatinya dengan Allah SWT walau di mana sahaja mereka berada.