:: Dakwatuna ::

Ahad, 2 Januari 2011

Antara Semalam dan Hari ini…


Tirai 2010 telah berlabuh semalam dengan pesta sambutan tahun baru 2011. Kesenjangan ini sungguh mengecewakan tatkala melihat anak-anak muda yang masih mentah dilunakkan dengan budaya hiburan yang melampau. Inikah harapan yang dicanang oleh Dato’ sri Najib dalam ucapan perutusannya mahu membawa pembaharuan yang lebih baik dan seribu macam harapan kononnya rakyat perlu bersatu padu dalam menjana kemajuan Negara. Itulah omongan kosong yang penuh sogokan material. Apa yang ingin dicapai jika jiwa rakyat kian disuburkan dengan maksiat, fahaman agama dipisahkan, akidah koyak, iman luput,krisis kemanusiaan terjejas dengan unsur politik yang disongsangkan.Hari ini cukai perkhidmatan dinaikkan lagi, harga barang kian mencengkam warga miskin, slogan rakyat didahulukan pencapaian diutamakan jelas tidak menepati kehendak agama dan jauh dari membangun kebajikan rakyat. Sebagai rakyat yang sedar dan mengharap sinar baru di ambang sessi baru ini, marilah kita celik dan bangkit dari kebobrokan ini, sudah tiba masanya kita berani untuk berubah dan berjuang untuk memartabatkan Islam dalam seluruh jiwa kita sehingga kita mampu mengubah dunia dengan cahaya hijau.


Sesungguhnya tamadun Islam yang lalu telah membuktikan bahawa asas kemajuan dan kecemerlangan sesebuah Negara itu terletak pada ketinggian akhlak dan nilai-nilai murni bangsanya. Ibnu Kaldun telah menulis dalam buku mukaddimahnya menyebut “ Akhlak dan ilmu pengetahuan tunggak pembinaan dan kejatuhan tamadun. Asas penting pembinaan Negara adalah : Agama,ekonomi, akhlak pemimpin serta rakyatnya”. Justeru mengapakah pemimpian Negara kita hari ini tidak merujuk kepada asas pembinaan tamadun Islam yang sebenar. Mereka hanya menggunapakai system barat yang jelas menjahanamkan Negara. Sekularisme telah bernanah dalam pentadbiran mereka sehingga sukar ditangani. Musuh-musuh Islam telah bertepuk tangan dengan kejayaan mereka untuk memesongkan umat islam dari agamanya. Sedarilah umat sekalian dan bangunlah dari kelalaian kalian untuk mendokong perjuangan yang sebenar iaitu kembali kepada perjuangan yang telah dibawa oleh baginda Nabi Muhammad SAW. Tinggalkan kejahilan yang ada dalam dada kalian dan lihatlah pada kebenaran Islam itu berada di mana. Siapa yang sebenarnya ikhlas memperjuangkan Islam di tanah air kita? Fikirlah dengan mata hati kita..dunia ini sudah tidak selamat jika dipimpin oleh orang-orang yang tamak kuasa dan tidak mahu menegakkan islam dalam kerajaannya. Mereka itu tidak ubah seperti firaun dan namrud. Bila diajak kepada mentauhidkan Allah mereka ingkar malah berusaha menghapuskan ajaran ini dengan membunuh utusan Allah.

Demikianlah Dalam konteks dunia moden ini, bila diajak untuk kembali kepada Islam yang syumul, mereka menempelak dan menuduh dengan bermacam-macam tuduhan, mengamalkan diskriminasi media, manipulasi, bahkan sanggup menikam saudara sendiri. Itulah bentuk-bentuk ancaman dan pembunuhan yang mereka lakukan. Umno bukan lagi parti yang berjuang atas nama Islam. Islam mereka hanya pada diri dan amalan sahaja, mereka mengamalkan Islam secara juzuk sahaja dan meninggalkan juzuk-juzuk yang lain. Firman Allah SWT:

“Apakah kamu beriman dengan sebahagian al-Kitab dan ingkar dengan sebahagian yang lain? Tiadalah balasan orang yang berbuat demikian daripada kamu, melainkan kenistaan dalam kehidupan dunia dan di Hari Akhirat mereka dikembalikan kepada siksa yang sangat berat. Allah tidak lengah daripada apa yang kamu perbuat.” - Surah al-Baqarah: ayat 85

Mereka lebih mengutamakan bangsa melayu. Slogan 1 malaysia sangat jelas meragui akidah seolah-olah mereka ingin menyamakan semua agama. Fahaman liberal sudah tertanam tanpa mereka sedari. Sedangkan Islam yang diperjuangkan PAS telah lama melaksanakan misi ini dengan meletakkan Islam for All, Islam untuk semua itulah yang mempamerkan kesyumulan Islam yang meliputi seluruh bangsa manusia.
Dunia menguasai hati dan kehidupan umat Islam. Umat Islam kasihkan dunia dan bencikan kematian. Apabila ‘aqidah umat telah sakit dan tidak berfungsi, kejahilan menyelubungi kehidupan, ingatan-ingatan Allah SWT diabaikan, dunia menguasai kehidupan dan jihad ditinggalkan, maka Islam menjadi Ghurbah.

Realiti kini, Islam berada di suatu lembah manakala umat Islam berada di suatu lembah yang lain. Islam menjadi sasaran musuh. Ustaz Sa’id Hawwa ada menyatakan:
“Kita dapati Islam dan kaum Muslimin menjadi sasaran musuh luar dan dalam...”

Oleh kerana itu, hayatilah sejarah hijrah Rasulullah SAW dalam memberi pengertian yang amat besar kepada kita selaku penerus perjuangan addin yang suci ini kerana ianya merupakan titik tolak yang pertama dalam menuju perubahan dan matlamat yang diimpikan. Persoalannya ,apakah kita sedar betapa besarnya peranan sejarah untuk kita manfaatnya dan mentadbiqkannya secara amali guna memperbaiki diri,keluarga,jamaah sama ada kecil atau besar,negeri,tanah air serta dunia seluruhnya ke arah Islam yang syumul? Atau apakah telah berpuashati dengan keadaan kita dan negara kita yang jelasnya hanya bertopengkan Islam.

Bersamalah kita membakar semangat dan pengorbanan di dalam diri dengan mengambil Al-Quran sebagai panduan , Sunnah sebagai ikutan. Jadikanlah diri kita cermin kepatuhan Al-Quran dan Sunnah yang berjalan di muka bumi ini .Seharusnya kita berhijrah dari sebarang kepincangan kepada kebaikan dan daripada kebaikan kepada yang lebih baik dan seterusnya yang terbaik. Segala sifat negatif kita gantikan dengan sifat positif, yang suka berprasangka diubah menjadi sebaliknya yang malas diubah menjadi rajin, yang tidak ikhlas diubah kepada keikhlasan yang suci dan lain-lain.Ingatlah bahawa berpegang dengan aqidah dan akhlak islamlah, persaudaraan islam dapat dicapai sebagaimana yang disaksikan di dalam sejarah.

Hijrah 2011: PAS wajib menggantikan UMNO.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan