:: Dakwatuna ::

Isnin, 22 Februari 2010




Ayuh muslimat rebutlah peluang ini...!!

فليبلغ العلم الشاهد للغائب

Sabtu, 20 Februari 2010

Amanat seorang Murabbi...

Anda semua kini merupakan harapan kepada kebangkitan Islam dalam membina kembali keangungan Islam, pemerintahan Islam dan penyatuan Islam.
Kalianlah di zaman ini menjadi harapan muslimin sebagai pejuang yang rela mengembalikan khilafah rasyidah di muka bumi ini, menjadi harapan untuk mengembalikan kemuliaan dan keagungan Islam yang telah hilang kepada alam ini. Kalianlah orang-orang yang ditunggu-tunggu di segenap tempat sebagi pejuang-pejuang pembebasan, sebagai para daei pendukung kebenaran dan sebagai pembawa obor hidayah….justeru itu tunjuklah bukti-buktinya wahai belia dalam segenap bidang…berilah contoh ikutan dengan penglibatan kamu terhadap prinsip-prinsip ukhuwah Islamiah, tunjuklah contoh bagaimana kamu menyelami roh dan pengertian ukhuwah islamiah…tunjuklah contoh bagaimana kamu melaksanakan tugas-tugasnya…tunjuklah contoh yang boleh kamu jadikan bandingan baik dengan sikap dan perilaku kamu terhadap ukhuwah Islamiah.
Tunjuklah contoh bagaimana kesan dari ukhuwah boleh berpanjangan dan bagaimana buahnya boleh dihasilkan. Sesungguhnya tidak ada jalan yang lebih besar kesannya kepada sama ada peribadi atau ummah selain dari uswah.

Sejarah telah menjelaskan wahai para belia dengan bangga dan megahnya bahawa Islam telah sampai hingga ke selatan India. Ke Sri Lanka. Ke pulauan Laccadive dan Maldive di tengah-tengah samudra Hindi, sampai ke Tebet, ke Persisiran Benua china,ke Philipina ke gugusan kepulauan Indonesia dan semenanjung tanah melayu…di sebelah baratnya sampai ke tengah-tengah benua Afrika, iaitu Senigal, Niegeria, Somalia, Tanzania. Madagaska, Zanzibar dan banyak lagi yang tidak sempat disebut. Sampainya serta bertapaknya Islam pada bangsa-bangsa tersebut itu adlaah dengan qudwah atu contoh yang menjadi ikutan, contoh-contoh yang dibawa oleh pedagang-pedagang dalam sikap dan perilaku mereka. Mereka yang merupakan para daei yang menunjukkan contoh dalam semua gerakgeri mereka, malah merekalah muslimin yang menunjukkan contoh dalam semua gerakgeri mereka. Malah mereka muslimin yang menunjukkan contoh pada persaudaraan mereka yang tulen, pada perilaku dan budi pekerti mereka. Kemudian barulah disusuli dengan kalimah tayyibah dan mau'eizah hasanah serta dakwah yang berhikmah…barulah manusia-manusia dari bangsa-bangsa tersebut masuk berduyun-duyun , berbondong-bondong ke dalam agama Allah ini dan mereka beriman dengan rela hati dan penuh keyakinan.
Kalaulah para pedagang tersebut tidak menunjukkan sikap baik mereka, para daei tersebut tidak membuktikan ukhuwah sejati mereka, dan angkatan muslimin tersebut tidak bersikap dengan akhlak dan perangai mulia mereka, maka tentulah berjuta-juta manusia tidak menganut Islam, mereka tidak masuk ke dalam keadilan dan belas kasihan Islam .
Para pejuang dakwah Islamiah, dari para daeinya , malah dari setiap orang yang ada hubungannya dengan dakwah Islamiah , begitu mudah sekali didapati belia-belia yang mukmin yang berukhuwah , yang memiliki kesedaran dan bersatu , yang menghayati prinsip-prinsip Islam dalam cara hidup, yang menghidupkan fikrah atau pemikiran Islam dalam setiap individu, malah gerak dan diam mereka menjelaskan keutamaan pada dakwah Islamiah. Dan apabila harakah Islamiah di zaman moden ini mengemukakan beberapa contoh melalui peribadi-peribadi yang boleh diikuti dan ditauladani perilaku dan akhlak mereka, juga melalui para daei yang berbeza, dari orang lain kerana sifat ukhuwah dan taqwa mereka, juga melalui beribu-ribu belia yang dapat mempengaruhi menusia dengan bahasa , sikap dan perilaku yang mereka tunjukkan lebih dulu daripada bahasa lisan dan tutur kata…dengan yang demikian itulah gerakan Islam telah Berjaya mendapat hasil dalam medan perjuangan dakwah kepada Allah, Berjaya menawan beribu-ribu kelompk manusia dan dibawanya mereka beriman dan percaya bahawa Allah sahaja sebagai tuhan, Islam sebagai agama, Al Quran sebagai imam dan nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wasallam sebagai nabi dan rasul…malah harakah Islamiah telah mendapat hasil dari tanamannnya yang berupa penyebaran Islam itu banyak buah-buah yang enak lazat untuk dimakan.

DENGAN APA NABI MUHAMMAD SAW MENAWAN DUNIA???

يوم صنع اصحا به عليه رضوان الله صورا حية من ايمانه , تأ كل الطعا م , وتمشي فى الاسواق , يوم صاغ من كل منهم قرآنا حيا يدب على الأرض , يوم جعل من كل فرد نموذجا مجسما للاسلام , يراه الناس فيون الاسلام

Muhammad saw telah Berjaya seperti yang dikatakan oleh Al syahid sayyid Qutb bahawa baginda mendidik dan membentuk para sahabatnya radiyallahu anhum menjadi rupa iman yang benar-benar hidup, yang memakan makanan , yang berjalan –jalan di pasar, malah para sahabat-sahabat tersebut merupakan al quran yang melata dan merayap di bumi, malah mereka dididik dan dibentuk oleh baginda menjadi contoh atau model yang lengkap untuk Islam, bila melihat mereka bererti sudah melihat Islam!!


Adapun Nas, tidak ada faedahnya kalau ia dibiarkan bersendirian , tidak dilakukan sesuatu, juga Al quran itu sendiri kalau dibiarkan tidak dibentuk hingga terbentuk seorang lelaki, dan segala prinsip Islam kalau hanya tinggal prinsip, ia tidak berfaedah malah tidak bernyawa kalau ia tidak dijadikan panduan atau cara hidup.
Di situlah Muhammad saw menjadikan matlamat pertamanya iaitu membentuk para pahlawan Islam sebenarnya, bukan hanya sekadar memberi ceramah dan pelajaran, baginda mengukir Islam di jiwa bukan hanya memperdengarkan seni khutbah atau pidato, baginda membina ummah bukan sekadar menegakkan falsafah . adapun fikrah Islamiah itu sendiri Al quran yang bertanggungjawab melindunginya. Maka tugas Muhammad saw ialah semata-mata mengubah fikrah Islam menjadi bentuk para lelaki yang boleh disentuh dengan tangan dan boleh dilihat dengan mata kasar!!

Muhammad saw telah mendapat kemenangan dengan membentuk fikrah Islamiah menjadi peribadi-peribadi dengan mengubah kepercayaan mereka terhadap Islam kepada amalan-amalan yang dipraktikkan, dengan mencetak puluhan buah mashaf (Al Quran), kemudian berikutnya mencetak ratusan malah ribuan Al Quran, Al Quran itu bukan dicetak dengan tinta ke atas kertas, tetapi dicetak dengan nur di atas lembaran-lembaran hati sanubari, kemudian Al Quran itu dilepaskan bergerak, bergaul dengan manusia, ia sendiri bersifat manusia, mengambil dan memberi, ia bertutur dengan bahasa, sikap dan tingkah laku dalam menyatakan Islam yang dibawa oleh Muhammad saw dari pihak Allah. Tetapi sebaliknya, betapa songsangnya harakah Islamiah hingga menanggung derita. Jelas kelihatan kecewanya harakah Islamiah disebabkan oleh anggota-anggota serta para daeinya melahirkan sifat-sifat ego, dengki dan cemburu. Betapa lembabnya perkembangan dakwah Islamiah dalam mesyarakat Islam sendiri, lebih-lebih lagi dalam bangsa-bangsa yang bukan Islam sama ada di dunia Barat maupun di Timur….disebabkan oleh gerakan Islam yang ada hanya berkisar di sekitar ruang yang sungguh sempit, di samping berpenyakit dengan penyakit dengki, iri hati dan permusuhan??
Justeru itu, suasana dan kedudukan harakah atau jamaah yang saling bermusuhan dan bercakaran itu tetap goyang dan lemah, seperti yang dibayangkan oleh syair arab ini :


وما شكواى أو شكواك الا
لفوضى فى المجا مع وانقسا م
ترى كلا له أمل وسعى
وما لاثنين حولك من وئا م
لكل جماعة فينا اما م
ولكن الجميع بلا اما م

" Tiada bantahan dari saya juga anda,
Kecuali percakaran dan pecah belah dalam kumpulan,
Anda lihat mereka punya cita-cita, menjalankan usaha,
Tetapi tidak pernah sejalan walau dua kumpulan di samping anda,
Anehnya setiap jamaah di kalangan kita ada panduannya,
Tetapi sebenarnya semuanya tidak berpanduan."


Pada perhitungan saya dan perhitungan kebanyakan para daei yang matlamatnya untuk membentuk fikrah Islamiah, juga para pejuang untuk pemulihan kalaulah anggota-anggota harakah atau anggota-anggota jamaah tersebut berjalan dengan berpandukan manhaj Islam dalam mendidik para daei, dalam menyediakan dan melengkapkan peribadi-peribadi muslim, malah dalam membentuk ummah…kalaulah mereka bergerak mengikut prinsip-prinsip syariah dalam menunaikan hak-hak ukhuwah, menyelami roh ukhuwah sedalam-dalamnya, melaksanakan segala kewajibannya dan patuh kepada etika ukhuwah….sudah pasti sejak awal dulu lagi mereka telah mendapat kemenangan ke atas musuh sebenarnya. Sudah pasti mereka dapat memusnahkan perdurhakaan terhadap Allah, mereka dapat membasmikan kezaliman dan ilhad…sudah pasti mereka dapat menegakkan Daulah Islamiah di negara-negara kepunyaan orang-orang Islam…sudah pasti mereka dapat menyebarkan agama Allah di segenap pelusuk bumi, malah di mana-mana sahaja di dunia ini….! Adalah silap wahai belia-belia Islam kalau anda beranggapan bahawa abad-abad permulaan Islam dulu sama ada di zaman para sahabat atau generasi-generasi yang menyusuli para sahabat dapat menegakkan keagungan dan kecemerlangan Islam yang luas melebar itu…mereka dapat membina kekuatan dan kehebatan Islam yang begitu terkenal, mereka Berjaya mengasaskan pemerintahan Al Quran yang begitu besar, tanpa ukhuwah yang tulen, tanpa kasih sayang yang sebenarnya , tanpa pertalian dan tambatan hati yang jinak dan mesra.


Adalah salah jika anda menyangka bahawa Islam ini tersebar di Timur dan di Barat, di kawasan-kawasan bumi yang ramai penduduknya, tanpa ikatan hubungan yang kukuh, tanpa pegangan kepada tali Allah yang kuat , adalah salah jika anda menyangka bahawa ratusan juta manusia masuk ke dalam Islam dengan pilihan dan kerelaan mereka begitu sahaja, tanpa ikutan dan teladan yang dibawa dan ditunjukkan oleh para daei, tanpa contoh dari mukminin yang mereka kenali.


Tidak betul jika anda menyangka bahawa tapak pembinaan yang di atasnya didirikan Daulah Islamiah, kemudian dari situlah tersebarnya risalah dan mesej Muhammad saw itu tidak pernah ada persaudaraaan, tidak pernah ada saling sayang menyayangi antara satu sama lain.
Adakah anda telah baca dalam sejarah wahai belia-belia Islam bahawa pemimpin dan Pembina keagungan Islam Muhammad saw tidak mengasaskan pemerintahan Islam yang pertama di madinah melainkan setelah mempersaudarakan muhajirin dengan Ansar, menjinak dan merapatkan kembali antara suku kaum Aus dan Khazraj….supaya semua muslimin menuju ke arah satu haluan, bersatu di bawah panji-panji " dan berpegang-teguhlah kamu dengan tali Allah, dan janganlah kamu berpecah-belah" di bawahslogan " Sesungguhnya ini umat kamu, umat yang satu, dan akulah tuhan kamu, maka bertaqwalah kamu kepada-Nya"

Wahai saudara-saudara para belia, perkukuhkanlah ukhuwah dan penghayatan kamu, berukhuwahlah kamu dengan semangat kerana Allah, ubatilah jiwa dan diri kamu dengan ikhlas dan bertaubatlah , bezakan diri kamu dari manusia-manusia lain dengan akhlak dan tingkah laku yang baik, tunaikanlah hak-hak ukhuwah kepada saudara-saudara kamu dan kepada orang-orang yang berlindung dengan kamu, berjalanlah di atas manhaj dan landasan Islam dalam mengukuhkan kasih sayang kamu, dan berpandulah dengan pimpinan Al Quran dalam menjalani kasih sayang kamu.

Semoga santapan semangat dan harapan yang menggunung dari beliau dapat kita hayati dan jadikannya sebagai satu motivasi pembakar obor perjuangan kita dalam meneruskan jihad fi sabilillah . Bersama mempertahankan ketuanan Islam!! Takbir 3x!!

Rabu, 17 Februari 2010

Konvensyen Dewan Muslimat Pas Negeri Terengganu


6 Februari 2010 - Muslimat Penjana Kemenangan


Alhamdulillah berlangsungnya konvensyen DMPNT baru-baru ini telah memberi impak besar pada kebangkitan muslimah kita dalam menghadapi cabaran baru sebagai langkah persediaan untuk berdepan dengan pilihanraya ke 13 nanti. Walaupun anggaran yang dijangka pada awalnya dalam 2 ribu orang namun kehadiran yang diluar jangkaan itu telah menarik perhatian ramai pihak. Ini lebih meyakinkan bahawa DMPNT mampu membina jentera yang lebih ampuh dan boleh melangkah dengan lebih jauh lagi. Walau bagaimanapun muslimat perlu lebih gigih dan konsisten untuk mencapai matlamat yang digariskan serta tidak leka dengan cabaran dan halangan dari pihak musuh yang sentiasa mengintai ruang. Apa yang menarik bagi saya dalam konvensyen kali ini ialah sesi perbahasan yang banyak menyentuh tentang gerak kerja muslimat di semua peringkat cawangan dan kawasan. Mungkin inilah medan muhasabah yang terbaik untuk menentukan hala tuju muslimat akan datang selepas menilai perjalanan aktiviti dan program khususnya usaha menambat hati golongan muda untuk terus bersama muslimat PAS. Persoalan yang ingin dikongsi bersama juga penting untuk difikirkan apabila soal kelesuan tarbiyah kalangan muslimat hari ini. Apa yang menjadi punca utama sebagaimana disebut oleh wakil muslimat kawasan Marang ialah berlakunya pertembungan program menyebabkan perjalanan tarbiyah dewan muslimat dilihat lesu dan tidak bermaya kerana kehadiran ahli yang tidak memuaskan. Justeru itu saya menyokong dan bersetuju apabila dicadangkan dewan muslimat perlu menyusun kembali taqwim tahunan di samping mengurangkan program yang banyak supaya program-program tarbiyah dapat diutamakan dan diberi ruang sepenuhnya. Kadang-kadang kita lebih menumpukan pada ahli jemaah sehingga terlupa pada sasaran luar dan usaha membina hubungan dengan memasyarakatkan ahli muslimat dengan orang lain. Diharap konvensyen yang diadakan ini dapat memberi satu anjakan paradigma dan menjadi titik permulaan ke arah perubahan yang lebih baik setelah kita bermuhasabah dan menilai kelemahan dan hasil kerja yang lepas seterusnya menjadi pemangkin kepada kemenangan PAS dalam PRU ke 13. insyaAllah..ayuh muslimat muda tiba masanya untuk kita beraksi dengan lebih tekun dan gigih demi mencapai kejayaan dunia dan akhirat!!

MUSLIMAT PENJANA KEMENANGAN!


Ajk unit Perbekalan nisa' sedang merarau


sempat bergambar seusai bertugas

Ahad, 10 Januari 2010

Perjuangan menggamit kerinduan...

Alhamdulillah syukur tidak terhingga ku rakamkan buat tuhan yang Maha Agung atas nikmat kehidupan dan usia yang dianugerahi ini dapat bernafas kembali dalam arena yang terbatas ini meskipun kesibukan sering membaluti diri untuk mengisi blog yang baru setengah jagung membangun ini masih membutuhkan sokongan dan garapan komitmen dari semua pembaca dengan harapan agar kalian dapat menyebarkan risalah dakwah ini sebagai seruan dan kewajipan kita sebagai pendakwah dan pejuang agama-Nya. Sesungguhnya tiada nikmat yang paling berharga dan bernilai bagi kita umat Islam melainkan dua nikmat utama iaitu nikmat Iman dan Islam. Lantas daripada itu marilah kita marakamkan lafaz syukur buat Pemberi nikmat Allah Azzawajalla….mudah-mudahan kita semua tergolong kalangan hamba-hambanya yang sedikit… “ Dan sedikit sahaja dari hamba-hambaku yang bersyukur…”

Justeru, kita yang masih diberi nikmat sadar dari apa yang dinyatakan Allah swt di atas, sentiasalah mengucapkan syukur juga tampilkannya dalam bentuk tindakan kerana sekalipun dengan apa sahaja yang kita buktikan untuk menyatakan syukur kepada-Nya belumlah memadai dengan apa yang telah diberikan kepada kita. Kerana nikmat tuhan itu terlalu luas untuk diukur dan terlalu banyak untuk dihitung…teringat saya pada seorang ustaz yang pernah memberi tazkirah dalam satu usrah di kampong rusila. Peristiwa itu masih mekar lagi dalam ingatan ini kerana pertama usrah tersebut diadakan di rumah Allahyarhamah Ustazah Zaidun yang dikenali dengan mak cik zaidun. Seorang pejuang muslimah yang tegar dan gigih berjuang sehingga ke akhir hayatnya…saya sangat mengkagumi beliau dan semoga Allah merahmatinya dan membalas segala jasa-jasanya yang banyak berkorban apa jua untuk Islam tercinta. Seorang ustaz yang memang ditakhlifkan satu hari dalam seminggu menguruskan usrah tersebut menyebut tentang nikmat syukur yang sering manusia alpa. Nikmat yang ada jarang disyukuri…hilang tak dicari…katanya lagi kita harus sentiasa memohon kepada Allah untuk mendapat hidayah..kerana hidayah ini bukan kerja kita tapi kerja tuhan. Hanya mereka yang benar-benar mengharap akan diberikanNya. Untuk mendapat hidayah Allah beramallah dengan lima perkara ini. Dan lima perkara ini lah yang saya pegang dan tak akan lupa sampai bila-bila…azimat berharga…apakah dia?

Pertama : jadilah manusia yang bersyukur.
Kedua : jadilah manusia yang sabar
Ketiga : jadilah manusia yang reda
Keempat: jadilah manusia yang sentiasa bertaubat
Kelima : sentiasalah bertawakal kepadaNya…

Mudah disebut sukar untuk diamalkan…kerana manusia tidak terlepas dari godaan syaitan dan hawa nafsu…kunci utama kukuhkan iman di jiwa tingkatkan mujahadah diri dan besarkan hati melawan apa sahaja cabaran yang datang…kerana manisnya syurga itu setelah kepahitan dan onak ranjau kehidupan diredahi. Teruskan berusaha!

disebut dalam peristiwa isra’ mi’raj golongan yang paling banyak memasuki neraka adalah golongan wanita…oleh itu, sedarilah dan insafilah duhai para wanita sekalian…kalian adalah golongan yang istimewa yang banyak dijanjikan dengan syurga kok dengan remehnya kita berpaling dari pilihan tersebut dan lebih gemar menjejaki lembah kehinaan yang bisa mengjerumuskan kita ke dalam apiNya yang panas menggelegak. Bertaubatlah dan pohonlah keampunan kepadaNya sebelum kita terlambat….semoga masih ada ruang untuk kita kembali pada jalannya yang lurus….

Peranan yang masih bergalas dipundak kita tidak pernah berkurang malah tanggungjawab tersebut akan terus bertambah hari demi hari…kerana kita adalah khalifah Allah yang diberi amanah untuk menguruskan urusan pentadbiran bumi ini berpaksikan Al quran dan As sunnah saw sememangnya tugas tersebut memerlukan kekuatan yang jitu, semangat kefahaman yang tinggi dan ilmu thaqafah yang mantap untuk menguasai dunia dan ahlinya yang berbagai ragam dan berbagai fahaman idealogi . semestinya pertembungan iman dan kufur berlaku dalam usaha menegakkan sebuah daulah Islamiyah di akhir zaman ini. Namun aspirasi perjuangan kita sering mengingatkan kita bahawa inilah jalan yang betul dan benar untuk kita ikuti. Jalan yang satu dengan perjuangan yang telah ditinggalkan oleh ummat nabi –nabi dan rasul terdahulu. Mereka yang telah disebut dalam al quranul karim bagaimana berat dan tragisnya cubaan dan rintangan yang terpaksa mereka hadapi dalam memperjuangkan agama Allah ini. Hasil kesusahan dan penderitaan yang mereka alami telah membuktikan bahawa perjuangan yang kita dukungi ini bukanlah mudah kerana tuhan menyebut dalam al quran dalam surah At-taubat ayat 4…yang bermaksud:
"Kalaulah apa yang engkau serukan kepada mereka(wahai Muhammad?) sesuatu yang berfaedah yang mudah didapati, dan satu perjalanan yang sederhana (tidak begitu jauh), nescaya mereka (yang munafiq itu) akan mengikutmu; tetapi tempat yang hendak dituju itu jauh bagi mereka. Dan mereka akan bersumpah dengan nama Allah dengan berkata : "kalau kami sanggup, tentulah kami akan pergi bersama kamu". (dengan sumpah dusta itu) mereka membinasakan diri mereka sendiri, sedang Allah mengetahui bahawa sesungguhnya mereka itu orang-orang yang berdusta (tentang tidak sanggupnya mengikutmu).

Sembahyang itu mudah tapi khusyuk itu payah, perjuangan itu mudah tapi syahid itu payah…salam juang!

Rabu, 18 November 2009

Meniti detik-detik terakhir di syria...

salam sejahtera dan salam perjuangan buat semua semuga masih dikurniakan nikmat kesihatan dan kelapangan untuk beraksi di alam maya. bagi jundi tika ini sedang melalui hari-hari terakhir di rantauan ini. sedih, gumbira bercampur rasa. alhamdulillah walaupun masa yang semakin singkat akhirnya berjaya juga menggenggam ijazah quran. itulah kegembiraan yang paling besar buat jundi. terima kasih buat teman-teman seperjuangan atas sokongan dan tunjuk ajar selama ini. muga Allah membalas segala jasa baik antum...

lama juga jundi menyepi maklumlah internet di syria ni banyak sangat problemnya nak bukak blog pon kena ada program tertentu. ala kulli hal muga semangat yang masih ada ini mampu diteruskan seusai pulang ke tanah air nanti. dalam kesempatan masa yang singkat ini jundi mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua yang mengenali diri jundi terutamanya sahabat-sahabat seperjuangan, asatizah dan guru-guru juga adik-adik yang selalu menghiburkan hati. terima kasih atas bantuan yang diberi teruskan berbakti untuk Islam. mohon banyak-banyak atas segala kesalahan dan kesilapan sepanjang jalinan ukhuwah yang terjalin ini. doakan jundi terus thabat dalam perjuangan dan lebih mantap dan terus mantap...huhu

afwanlah tak dapat nak bicara panjang..ni pun kebetulan boleh buka blog.akhir kalam teruskan perjuangan walau di mana sahaja kalian berada..di mana bumi dipijak di situlah islam dijunjung.
wassalam.

Selasa, 6 Oktober 2009

Aidil Fitri : Meraih Kemenangan Melerai Kerinduan

Alhamdulillah syukur ke hadratNya masih memanjangkan usia kita bertemu syawal bulan meraih kemenangan bagi umat Islam setelah sebulan menjalani madrasah Ramadhan al mubarak. sedih dan gembira bercampur rasa. pilu kerana Ramadhan telah meninggalkan kita dengan sedang amalan masih berkurang. Ramadhan yang sama natijah yang berbeza itulah harapan yang kita dambakan sesudah kita berdoa dan berusaha merebut kebun-kebun amal kebajikan yang ditawarkan sepanjang ramadhan. kini walaupun dalam kesedihan mengenangkan pemergian ramadhan marilah kita menarik dari pengajaran masa lalu, menarik manfaat, mensyukuri kenyataan baiknya dan menghindari kenyataan ruginya agar tidak terulang lagi...sekarang syawal menjemput pula membuktikan kebesaran Allah swt yang menciptakan bulan-bulan Islam yang penuh keberkatan dan keistimewaannya sendiri.
bagi diri jundi pengalaman kedua-dua bulan ini merupakan pengalaman terakhir buat jundi di rantauan ini...hiba dan syahdu meraikan syawal bersama-sama sahabat seperjuangan yang semestinya menjadi memori abadi tersimpan kemas di sanubari. sebagai kenangan manis dalam membingkai hikayat hidup seorang mahasiswi syria. pastinya segala yang tercipta di sini adalah satu penghargaan dan kurniaan Allah yang tidak ternilai harganya bagi hamba yang dhoif ini...alhamdulillah wassyukru lillah....

bersempena dengan syawal yang diraikan jundi memohon beribu-ribu kemaafan dari semua khususan buat ma dan abah serta keluarga di kampung, nantikan kepulangan anakmu nanti insyaallah penantian kan berakhir jua...buat sahabat-sahabat seperjuangan yang berada di seluruh pelusuk dunia...muslimin dan muslimat terutama yang mengenali diri ini...maaf zahir dan Batin..kullu Am waantum bikhair...

Jumaat, 4 September 2009

Ramadhan : Manisfestasi mencari redha Allah

Salam ramadhan kareem buat semua saudara seakidahku sekalian. Mudah-mudahan dengan keberkatan yang terhidang luas ini memberi kesempatan sepenuhnya untuk kita teguk mengutip fadhilat serta mencipta perubahan diri ke arah yang lebih baik. Sesungguhnya ramadhan bulan untuk meraih rahmat,maghfirah dan perlepasan dari api neraka…tujuannya yang paling besar adalah untuk melahirkan mukmin yang bertaqwa...ibarat gedung ibadah yang melimpah ruah menunggu untuk dicucuk tanam dan sudah tentu akhiratlah tempat kita menuainya. Ungkapan para ulamak sering kita dengari dunia adalah jambatan ke akhirat…justeru bersempena dengan ramadhan al Mubarak ini sukalah saya berkongsi dengan pembaca budiman semua sebuah buku yang menarik untuk dihadam sepanjang bulan ini iaitu Konsep Ibadah Dalam Islam yang dikarang oleh penulis berjiwa telus dan ikhlas dalam gerakan dakwah. Beliau adalah As Syeikh Muhammad Abdullah Al khatib. Yang merupakan seorang ulama’ kelahiran Mesir dan pernah mendapat pendidikan di Al Azhar. Beliau adalah seorang murabbi(pendidik) begitu gigih dan sentiasa berhempas pulas untuk menyedarkan masyarakat. Sebahagian dari usia beliau dihabiskan untuk kerja kerja amal dan menulis buku buku yang begitu bernilai. Beliau telah lama bergiat aktif di dalam bidang penulisan dan banyak hasil karyanya yang tersiar di dalam akhbar berbahasa Arab samada dalam bentuk rencana, makalah, esei dan pelbagai wacana ilmiyah lagi. Sentuhan pena beliau yang begitu berani menyanggah segala ideologi sesat yang melanda ummah adalah antara tulisan beliau yang benar-benar membuka minda kita untuk mengetahui hakikat yang sebenar.

Buku ini telah diterjemahkan oleh sahabat kita dari mesir iaitu saudara Ahmad Hasan bin Mohd Nazam dan Mohd Nizam bin mohd Ali. Menyentuh tentang sekitar buku ini secara keseluruhannya, penulis mengajak kita merenung dan memerhati sedalam dalamnya tentang konsep ibadat yang sebenar. Rata-rata masyarakat kita memahami ibadat dalam skop yang sempit, tidak lebih daripada sembahyang lima waktu, puasa, haji, menunaikan zakat dan lain- lain ibadat khusus sedangkan hakikat ibadat yang sebenarnya mencakupi segenap perilaku insan dalam kehidupannya, merangkumi segala urusan keduniaan, kemasyarakatan, rumah tangga dan lain lain lagi, asalkan diniatkan semata-mata kerana Allah. Inilah hakikat ibadat yang ingin dijelaskan oleh penulis. Begitulah indah dan syumulnya Islam jika betul-betul difahami dan dihayati. Selamat membaca…

Bahagaian 1 : IBADAT MEMELIHARA INSAN


Ditanya seseorang:

“Apakah amalan yang boleh menyelamatkan manusia di saat arus maddiyyah terus berleluasa dan menjadi jadi sehingga menenggelamkan dan merosakkan hati??


Sahabatnya Menjawab:

Dirikan disekelilingmu tembok yang boleh menghalangmu dari hanyut bersama arus maddiyyah. Berusahalah untuk membersihkan saki baki hanyiran kesan kotoran maddiyyah, lemparkan ia keluar tembok. Maka bersihlah hatimu dari segala yang boleh menghanyutkanmu dan dapat menghirup udara nyaman.
Tazkirah Du`at

PENGERTIAN IBADAT

Semurni-murni status seorang hamba dan amalan mendekatkan (qurbah) diri kepada Allah SWT yang paling tulus ialah dengan beribadat. Ia merupakan satu-satunya jalan yang menyampaikan kita kepada Allah SWT.

Menurut Ibnu Taimiyyah r.h: “Ibadat (satu nama) merangkumi segala apa yang disukai Allah samada perkataan atau perbuatan yang berbentuk lahiriah dan batiniah.”
(Risalah al Ubudiyah)

Ibadat juga adalah benteng asas yang paling kukuh dan tulen selepas aqidah, untuk melahirkan pemuda sepertimana yang dikehendaki oleh Islam dan sesuai untuk dijadikan tembok untuk mempertahankan Islam. Apabila mengadap ke bawah duli, Tuhan semesta alam, dia dapat merasakan dirinya sentiasa diperhatikan, ruang ibadat di sekelilingNya penuh dengan manusia yang khusyuk merafa` sembah, mengadap tuhan, dengan rasa penuh kehambaan. Hatinya berdenyut kencang merasakan kehebatan Tuhan dan melahirkan rasa khusyuk yang tulus, apabila mereka benar-benar memahami konsep ibadat, dapat merasakan kemanisan iman dan lazat ketika mentaati Allah Rasulullah SAW telah bersabda: “Telah berkata Allah SWT yang bermaksud:
(Wahai anak Adam! Terdapat empat perkara iaitu: Satu untukKu, satu untukmu, satu untukKu dan untukmu dan satu untukmu dan makhlukKu.”Untuk Ku” ialah hendaklah kamu menyembah Ku dan tidak menyekutukan Aku. “Untuk mu”, ialah Aku memberi ganjaran di atas amalanmu ketika mana kamu benar-benar berhajat padanya. “Untuk Ku dan untuk mu” ialah doa daripada engkau dan aku menerimanya “Untuk mu dan makhluk Ku” ialah hendaklah kamu mendatangi manusia sepertimana engkau suka mereka mendatangi engkau).

Daripada Abdullah bin Amru: Sifat Rasullullah SAW yang disebut dalam Taurat ialah: Sesungguhnya Kami utuskan sebagai saksi, pembawa khabar gembira, pemberi peringatan dan benteng kepada ummiyyin. Engkau adalah hambaKu dan utusanKu. Aku namakan engkau Al Mutawakkil (yang bertawakkal) Engkau bukanlah seorang yang keras dan kasar. Kejahatan tidak dapat dihapuskan dengan kejahatan tetapi dihapus dengan kebaikan. Amalan kejahatan itu akan diampun. Aku tidak akan mencabut Nyawanya melainkan setelah ia membetulkan pegangan agama yang salah. Mata yang buta menjadi celik, telinga yang pekak kembali mendengar dan hati terbuka untuk mengatakan: لا إله إلا الله.

Allah telah menyifat Rasullullah SAW di dalam hadis ini dengan Ubudiyyah (perhambaan). Ini merupakan satu tanda penghormatan dan kemuliaan untuk baginda junjungan besar Rasulullah SAW. Ini disebut di dalam surah Al Isra’ Allah SWT telah berfirman:

سبحان الذي أسرى بعبده ليلا من المسجد الحرام الى المسجد الأقصى

Maksudnya: Maha suci Allah yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al Haraam (di Mekah) ke Masjid Al Aqsa (di Palestin).
(Al Isra’: 1)

Allah SWT telah menyifatkan para malaikat sebagai hamba kepada Allah SWT sepertimana firmanNya:

وقالوا اتخذ الرحمن ولدا سبحانه ، بل عباد مكرمون ، لا يسبقونه بالقول وهم بأمرهم يعلمون

Maksudnya: Dan mereka (yang musyrik) berkata: “(Allah) Ar Rahman mempunyai anak.” Maha sucilah Ia. Bahkan (mereka dikatakan menjadi anak Allah itu) ialah hambanya yang dimuliakan. Mereka tidak mendahuluinya dengan perkataan dan mereka pula mengerjakan apa yang diperintahkannya.
[Al Anbiya’: 26 & 27]

Allah SWT telah berkata kepada Nabi Musa AS dalam firmanNya:

إنني أنا الله لا إله إلا أنا فاعبدني وأقم الصلاة لذكري
Maksudnya: “Sesungguhnya Akulah Allah; tiada Tuhan melainkan Aku; oleh itu sembahlah akan Daku, dan dirikanlah sembahyang untuk mengingati Daku.
[Taha: 14]

Allah SWT telah mengingatkan tentang Saidina Isa AS dalam firman Allah SWT:

إن هو إلا عبد أنعمنا عليه وجعلناه مثلا لبني إسرائيل
Maksudnya: Nabi Isa itu tidak lain hanyalah seorang hamba yang telah Kami kurniakan ni`mat kepadanya (dengan pangkat Nabi), dan Kami jadikan dia satu contoh (kekuasaan Kami yang menakjubkan) bagi kaum Bani Israil.
[Az Zukhruf: 59]

Firman Allah SWT:
لن يستنكف المسيح أن يكون عبدا لله ولا الملائكة المقربون ومن يستنكف عن عبادته ويستكبر فسيحشرهم عليه جميعا.
Maksudnya: (Nabi Isa Al Masih tidak sekali-kali enggan dan angkuh daripada menjadi hamba bagi Allah, dengan demikian juga (sikap) malaikat yang sentiasa berdamping (dengan Allah). Dan sesiapa yang enggan dan angkuh daripada beribadat (menyembah dan menghambakan diri kepada Allah), serta berlaku sombong dan takabbur, maka Allah akan menghimpunkan mereka semua kepadanya.
[An Nisa’: 172]

Firman Allah SWT:

قال ربكم أدعو ني استجب لكم إن الذين يستكبرون عن عبادتي سيدخلون جهنم داخرين

Maksudnya: Dan Tuhan kamu berfirman: “Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong dan takabbur daripada beribadat dan berdoa kepada Ku, akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina.
[Al Ghafir: 60]

Firman Allah SWT:
ومن آياته الليل والنهار والشمس والقمر لا تسجدوا للشمس ولا للقمر واسجدوا لله الذي خلقهن إن كنتم إياه تعبدون. فإن استكبروا فالذي عند ربك يسبحون له بالليل والنهار وهم لا يسأمون.

Maksudnya: Dan di antara tanda-tanda kekuasaanNya ialah malam dan siang, serta matahari dan bulan. Janganlah kamu sujud kepada bulan, dan sebaliknya hendaklah kamu sujud kepada Allah yang menciptakannya, kalau betulah kamu hanya beribadat kepada Allah. Oleh itu, kalau mereka tetap ingkar dengan angkuhnya (daripada mematuhi perintah Allah dan mengesanNya, maka tidaklah menjejaskan kebesaran Tuhan), kerana malaikat-malaikat yang ada di sisi Tuhanmu tetap bertasbih kepadanya pada waktu malam dan siang, dengan tidak mereka mersa jemu.
[Fusilat: 37]

Dan Allah SWT berfirman lagi:
أن كل من في السموات والأرض إلاآتي الرحمن عبدا لقد أحصاهم وعدهم عدا وكلهم آتيه يوم القيامة فردا

Maksudnya: Tiada siapa pun di langit dan di bumi melainkan ia akan datang kepada (Allah) Ar Rahman, sebagai hamba. Demi sesungguhnya! Allah telah mengira mereka (dengan pengetahuanNya) serta menghitung satu persatu. Dan mereka masing-masing akan datang mengadapNya pada hari kiamat dengan seorang diri.
[Maryam: 93, 94 & 95]


Seruan pertama setiap risalah:

Seruan pertama pada setiap risalah nubuwwah melalui lisan para Anbiya’ ialah seruan untuk beribadat dan mentaati Allah. Allah SWT telah berfirman:
وما أرسلنا من رسول إلا نوحي إليه أنه لا إله إلا أنا فاعبدون
Maksudnya: Dan kami tidak mengutus sebelummu (wahai Muhammad) seorang Rasul melainkan kami wahyukan kepadanya: “Bahawa sesungguhnya tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Aku. Oleh itu beribadatlah kepadaKu.
[Al Anbiya’: 25]

Allah SWT telah menjelaskan dengan penuh ketelitian tentang betapa perlunya kita melakukan ibadat kepada Allah dan menjauhi segala bentuk perbuatan yang tiada kena mengena denganNya. Allah SWT telah berfirman:

ولقد بعثنا في كل أمة رسولا أن اعبدوا الله واجتنبوا الطاغوت
Maksudnya: Dan sesungguhnya Kami telah mengutuskan dalam kalangan tiap-tiap umat seorang Rasul (dengan memerintahkannya menyeru mereka): “Hendaklah kamu menyembah Allah dan jauhilah taghut.”
[An Nahl: 36)

Ini merupakan perintah dan Iradah Allah ke atas hambanya yang mana Allah SWT menyuruh setiap hamba mentaatinya sepertimana Allah menyuruh hambanya menjauhi perbuatan syirik dan segala bentuk amalan yang sesat. Semua para Anbiya’ dan para Rasul berada di atas landasan ini, di dalam satu angkatan menuju halatuju yang sama, iaitu menuju maksud menggesa seluruh umat manusia untuk mengabdi diri semata-mata kepada Allah SWT menjauhi segala amalan syirik, penyembahan berhala dan membenteras segala macam kesesatan samada dengan menggunakan kata-kata mahupun dengan perbuatan.

Pengarang kitab Fi Zilal al Quran memberi komentar tentang halatuju seruan para Rasulullah (utusan Allah) dan menjelaskan maksud tertentu yang dikehendaki oleh para Rasulullah daripada bangsa di kalangan kaum mereka sepertimana berikut:

• Peri pentingnya prinsip ini (mentauhidkan Allah) berdasarkan kaedah Tasawwur Al-Islami.
(مقومات تصور الإسلامى)

• Kesilapan Methodologi Perbandingan Antara Agama, mengenai proses evolusi aqidah dan tidak terkecuali juga agama-agama samawi (agama yang diturunkan dari langit).

Ini adalah satu kesilapan yang amat serius. Beliau menafikan mengenai evolusi aqidah dan juga ibadat. Beliau menyebut lagi bahawa sesungguhnya risalah suci yang diturunkan dari langit (risalah samawiyyah) sejak mula diturunkan sehingga dewasa ini adalah dengan prinsip yang satu iaitu tetap dengan aqidah mentauhidkan Allah, semenjak diciptakan muka bumi ini sehinggalah ke hari qiamat. Ustaz Syed Qutb meneruskan lagi komentarnya mengenai bahaya konsep yang sebegini:

Konsep ini berbahaya terhadap aqidah yang sahih. Konsep yang dimaksudkan ialah dakwaan kononnya risalah yang dibawa oleh para Nabi hanyalah merupakan perkembangan ekoran percubaan demi percubaan ummat sejagat dan juga merupakan proses evolusi di dalam bidang kepercayaan.

Seterusnya beliau menjelaskan:

Sesungguhnya permasalahan sebenar ialah mentauhidkan Allah dan mengesakannya dengan tauhid Uluhiyyah dan ‘Ubudiyyah tanpa menyekutukannya. Kepercayaan penuh kepada Allah tanpa ada sebarang percanggahan. Ia merupakan permasalahan I’tiqad yang utama dan hakikat sebenar pada setiap risalah yang di bawa oleh para anbiya’ (nabi-nabi) sepanjang zaman.


MATLAMAT IBADAT

Reformasi insan:

Insan yang soleh sentiasa mengukur segala urusannya dengan neraca rabbani dan sentiasa berhati-hati di dalam setiap perkataan dan perbuatan.

Inilah merupakan matlamat yang sebenar daripada Method Tarbiyyah Islamiyyah dan inilah juga hasil yang amat diharapkan. Di sana terdapat perbezaan yang ketara di antara insan soleh yang beramal untuk Islam dan pribumi pejuang kebangsaan yang memperjuangkan method Tarbiyyah Basyariah Ini adalah method ciptaan yang langsung tidak memahami method rabbani. Menafikan peranan suci method ini (method rabbani) di dalam melahirkan insan soleh yang hakiki.

Di sana terdapat dua perbezaan yang ketara di antara dua method ini:

• Insan Muslim: Menyembah Allah yang maha Esa dan sentiasa
menghampirkan diri dengan Allah di dalam setiap amalan.

• Manakala pejuang kebangsaan: Berjuang untuk kepentingan golongan
tertentu. Berjuang untuk menjadi pemimpin, berusaha sedaya upaya untuk
mencapai matlamat kebendaan dan kepentingan aliran yang dianutinya sahaja.

Matlamat insan soleh bukan pada hidupnya sahaja tetapi untuk mencari keredhaan Allah. Di sinilah wujudnya perbezaan yang ketara:

• Ciri-ciri insan yang soleh:
Ciri-ciri ini terkandung di dalam method rabbani yang unggul. Ia disemadikan di dalam kitab suci yang diturunkan daripada Allah SWT dan diperjelaskan lagi melalui sunnah Nabi. Dipelihara menerusi realiti kegemilangan sejarah manusia dalam membina kehidupan

Allah SWT menerangkan sifat sifat mereka di dalam Al Quran:
التائبون العابدون الحامدون السائحون الراكعون الساجدون الآمرون بالمعروف و الناهون عن المنكر والحافظون لحدود الله وبشر المؤمنين
Maksudnya: (Mereka itu ialah): Orang–orang yang bertaubat, yang beribadat, yang memuji Allah, yang mengembara (untuk menuntut ilmu dan mengembangkan Islam), yang ruku`, yang sujud, yang menyuruh kebaikan dan melarang daripada kejahatan, serta yang menjaga batas-batas hukum Allah. Dan gembirakanlah orang-orang yang beriman (yang bersifat demikian).
(At Taubah: 112]

Islam telah menjadikan keimanan kepada Allah yang esa yang bersifat dengan segala sifat kesempurnaan yang mutlak, untuk membersihkan akal insan daripada segala bentuk penyembahan berhala dan membebaskan manusia daripada khurafat yang menghumban manusia terjerumus ke lembah khayalan. Sesungguhnya fahaman keberhalaan melenyapkan segala kemuliaan insan dan menjadikan pemikiran mereka mundur dan mencampakkan manusia ke jurang yang tidak selayaknya Apa lagi yang dimiliki oleh manusia dari segala bentuk karamah dan kemuliaan bilamana mereka terjebak dengan penyembahan batu, memuliakan lembu, anak sapi dan patung.

Sehinggakan Islam melarang hambanya bersembahyang di hadapan kubur sepertimana juga Islam melarang hambanya bersumpah dengan selain daripada Allah SWT. Itu semua semata mata untuk memelihara daripada membesar dan mengagungkan selain daripada Allah SWT.

Saidina Umar Al Khattab RA ketikamana melihat manusia mengambil berkat dengan pokok yang di bawahnya pernah dimetrai perjanjian Ridhwan (Bai’ah Al-Ridhwan) pada hari Hudaibiyyah, Saidina Umar bimbang suatu kesan negatif terhadap aqidah umat Islam akan berlaku, maka beliau menebang pokok tersebut. Islam telah mencantas segala ruang-ruang yang boleh mendatangkan syubhat kerana ia boleh menjerumuskan umat Islam dan juga berperanan untuk menaungi manusia agar berjalan di atas landasan yang sebenar.

Islam telah menjadikan ibadah sebagai alat menyucikan jiwa, membersihkan amalan dari segala bentuk noda dan dosa. Ibadat diasaskan sebagai penjamin proses penyucian ini bilamana ianya dilaksanakan sebaik mungkin dan dijaga segala intipati ibadat tersebut.


Ibadat menjamin kebebasan manusia:

Sejak awal lagi, Islam telah membebaskan manusia daripada mengunakan perantaraan dan menjadikan hubungan langsung antara hamba dan khaliqnya (penciptanya). Ulama’ Islam yang memiliki ilmu yang mendalam dalam bidang agama bukannya untuk dijadikan perantaraan antara tuhan dengan hamba-Nya. Ibadat tidak ditolak dan diterima dengan sebab mereka. Bahkan mereka semua, sama sahaja di sisi Allah. Dan mereka diamanahkan untuk mengajar manusia lain dan ditegah menyembunyikan ilmu. Mereka lebih bertanggungjawab di hadapan Allah terhadap diri mereka sendiri dan terhadap orang lain berbanding dengan mereka yang tidak mengetahui. Allah Ta`ala mengecam golongan yang menyembunyikan ilmu dan bakhil melalui firman-Nya:

إن الذين يكتمون ما أنزلنا من البينات والهدى من بعد ما بيناه للناس فى الكتاب أولئك يلعنهم الله ويلعنهم اللاعنون ، إلا الذين تابوا وأصلحوا وبينوا فأولئك أتوب عليهم وأنا التواب الرحيم.
Maksudnya: Sesungguhnya orang–orang yang menyembunyikan apa yang telah Kami turunkan dari keterangan-keterangan dan petunjuk hidayah, sesudah Kami menerangkannya kepada manusia di dalam kitab Suci, mereka itu dilaknat oleh Allah dan dilaknat oleh sekalian makhluk. Kecuali orang yang bertaubat, dan (memperbaiki amal buruk mereka) serta menerangkan (apa yang mereka sembunyikan); maka orang-orang itu, Aku terima taubat mereka, dan Akulah Yang Maha Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani.
[Al Baqarah: 159 & 160]

Ini merupakan ancaman yang menakutkan terhadap mereka yang mengetahui kebenaran kemudian menyembunyikannya kerana ingin lari daripada tanggungjawab semata-mata untuk tujuan keduniaan. Ini merupakan keadaan yang wujud pada setiap masa dan di setiap tempat.

أولئك يلعنهم الله ويلعنهم اللاعنون
Maksudnya: mereka itu dilaknat oleh Allah dan dilaknat oleh sekalian makhluk.
[Al Baqarah:159]

Seolah-olahnya mereka berada di dalam laknat dari khalayak manusia, kemudian dibuka pula peluang keemasan bagi sesiapa sahaja yang mahu bertaubat, kembali kepada Allah dan memperbaiki hubungan antara hamba dengan Khaliqnya. Menyatakan kebenaran dan berpegang teguh dengan-Nya. Dengan itu taubatnya diterima oleh Allah SWT dan menghapuskan segala kesilapannya. Para ulama tidak memiliki kekuasaan dalam hal anutan keagamaan sehingga boleh menganugerahkan syariat Islam kepada orang lain tetapi mereka hanya sekadar sebagai pembimbing untuk memandu manusia. Prinsip ini dinyatakan oleh Allah SWT di dalam Al Quran:

فذكر إنما أنت مذكر لست عليهم بمسيطر
Maksudnya: Bukanlah engkau seorang yang berkuasa memaksa mereka (menerima ajaran Islam yang engkau sampaikan itu).
[Al Ghasyiah: 21 & 22]

Dan juga firman Allah:

ليس لك من الأمر من شيء
Maksudnya: Engkau tidak berhak sedikipun (wahai Muhammad dalam urusan orang yang ingkar itu)
[Ali Imran: 128]

Rasulullah SAW pula bersabda kepada anaknya Fathimah Radhiallahu ‘anha:

يا فاطمة بنت محمد اعملي لا اغني عنك من الله شيئا
Maksudnya: “Wahai Fatimah binti Muhammad, beramallah, aku tidak dapat membela kamu di hadapan Allah sekali-kali.”
(Sirah Ibn Hisyam: Jilid 1)

Islam telah membebaskan ibadat daripada sebarang kaitan dengan perantaraan dan demikian juga dengan tempat-tempat tertentu yang dianggap keramat. Di dalam Islam setiap tempat adalah sesuai untuk beribadat selagi mana ianya suci. Tidak kira samada di padang pasir, atas kapal laut, kapal terbang, keretapi atau masjid-masjid yang khusus untuk beribadat. Setiap hamba mampu untuk menuju kepada Allah dan menghubungkan hatinya dengan Allah SWT walau di mana sahaja mereka berada.